HULU LANGAT – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yakin dengan penerimaan masyarakat setempat itu walaupun ada cakap-cakap akan berlaku persaingan sengit pada 12 Ogos ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih selama dua penggal itu berkata, kempen yang sudah masuk pusingan kedua memberi impak positif dengan pelbagai maklum balas serta sokongan diberi pengundi Dusun Tua.
“Setakat ini saya sudah mendekati rakyat di beberapa kawasan kampung, alhamdulillah, setakat ini maklum balas amat positif. Ramai di sini tidak minta berpolitik, mereka hanya mahu isu-isu berkaitan masyakat setempat itu diselesaikan.
“Isu berkaitan perebutan kerusi itu sebenarnya sudah selesai, jentera PH-BN juga bekerja bersama-sama untuk kemenangan di Dusun Tua,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas walkabout, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johan berkata, beliau akan menumpukan kepada beberapa isu berkait Dusun Tua terutamanya banjir yang pernah dialami penduduk pada 2021 selain isu ekonomi.
DUN Dusun Tua merangkumi 63 peratus pengundi Melayu diikuti 28 peratus pengundi Cina, India tujuh peratus dan lain-lain dua peratus. – MalaysiaGazette