Datuk R Ramanan

SUNGAI BULOH – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan penduduk kawasan itu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan berkata, kemenangannya dianggap sebagai satu daripada dua tiang yang akan mengukuhkan kawasan Parlimen itu, selain di Kota Damansara.

“Tanpa kehadiran beliau, memang sukar untuk saya,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan peringkat DUN Paya Jaras, malam tadi.

Difahamkan Mohd Khairuddin telah banyak memainkan peranan untuk pembangunan di Paya Jaras yang merupakan salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Sungai Buloh.

Menurut Ramanan, Mohd Khairuddin juga dianggap pemimpin  penting terhadap kejayaan dalam kepimpinan kerajaan negeri bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari.

“Sama seperti kita kini bergabung dengan PH-BN. BN mempunyai kekuataan jentera yang luar biasa kerana saya pernah main kejar-kejar dengan mereka sembilan bulan lepas sebelum menang Parlimen Sungai Buloh ini.

“Sebagai satu pasukan, kita boleh cipta kemenangan luar biasa, Apabila kita bersatu, kita bekerjasama, kita tidak boleh ditewaskan, itu jaminan saya boleh beri kepada anda. Itu jaminan yang saya boleh beri,” ujarnya.

Para pilihan raya 12 Ogos ini, Mohd Khairuddin akan berhadapan calon Pas, Profesor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri dan calon Bebas, Nurhaslinda Basri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Khairuddin memenangi kerusi DUN Paya Jaras apabila memperoleh 20,376 undi menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 12,072 undi.

BN diwakili Datuk Zein Isma meraih 8,304 undi dan calon Pas, Hanafi Zulkapli pula mendapat 6,042 undi. -MalaysiaGazette