KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Datuk Harisson Hassan.
Harisson merupakan bekas ahli UMNO yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Selangor.
Tular video bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu hadir memberi sokongan kepada Harisson yang berkempen di Puncak Alam hari ini.
“Harisson boleh jadi wakil rakyat yang bagus, kalau tak sesuai saya tak keluar sokong,” katanya dalam video tular.
Harisson merupakan pencadang semasa KJ menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini.
Tindakannya itu menyebabkan Harisson dipecat dari parti.
Menurut KJ, Harisson merupakan sahabat perjuangannya semasa dalam UMNO dan sama-sama berada dalam sayap parti itu kira-kira 20 tahun lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, Harisson berentap satu lawan satu dengan calon PH-BN, Datuk Jahaya Ibrahim mewakili BN. – MalaysiaGazette