Ahmad Deraman (kanan) bersama Tengku Zafrul dalam kempen di DUN Kok Lanas, Ketereh.

KETEREH – Ahmad Deraman, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas tidak pernah berasa kekok keluar masuk kampung dalam kawasan itu untuk bertemu dan menziarah penduduk.

Ini kerana, katanya, tugasan itu telah dilakukannya sejak sekian lama dalam membantu pemimpin UMNO berjumpa rakyat untuk mendengar permasalahan dihadapi mereka.

“Sekarang, apabila pucuk pimpinan memberi amanah kepada saya sebagai calon di kerusi ini, saya meneruskan tradisi ‘temu mata’ dengan penduduk dan mereka sangat dekat dengan saya.

“Ambo (saya) asal sini (Kok Lanas), ini tanah tumpah darah ambo. Jadi, mereka semua adalah ore kito (orang kita), set kito (rakan taulan kita) dan kampung kito. Insya-Allah, orang Kok Lanas bersama ambo,” katanya, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, selain jentera tempatan membantu, pemimpin dari pusat seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut turun padang.

Katanya, menteri terpegun tengok kemajuan di Kok Lanas hasil usaha pemimpin UMNO sebelum ini kerana tidak boleh mengharapkan kepada kerajaan Pas untuk membawa Pembangunan.

“Semuanya dari usaha pimpinan UMNO yang bawa masuk sedikit demi sedikit prasanan ke kawasan Kok Lanas. Rakyat harus bersyukur dan beri peluang kepada UMNO untuk menang pada 12 Ogos ini.

“Insya-Allah, Kok Lanas kita kekalkan dengan sokongan rakyat di sini. Mereka tahu dan bijak membuat keputusan,” katanya.

Sepanjang kempen dua hari ini, Ahmad meneruskan program ziarah kasih di sekitar Kampung Padang Mengkali, Kubang Laka, Pangkal Pisang dan Kampung Tukol.

Beliau menyantuni sahabat yang keuzuran dan berbual santai dengan penduduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast