Zaleha (dua dari kanan) datang berjumpa calon BN Melor, Cikgu Mi untuk menyatakan sokongannya.

MELOR – Ketika sekumpulan pimpinan dan ahli UMNO Bahagian Ketereh keluar parti untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) dan bersama Pas, masih ada yang menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) DUN Melor, Azmi Ishak.

Zaleha Talib, 58, antara penyokong tegar Pas dari Kampung Tegayong dekat sini, tampil menyatakan hasrat hatinya untuk memastikan Azmi yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mi, menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau menyatakan sokongan itu dalam satu perjumpaan tidak rasmi di Kampung Aril semalam, ketika Cikgu Mi sedang sibuk berkempen program ziarah.

“Makcik dah banyak kali undi calon Pas setiap kali pilihan raya. Kali ini makcik nak sokong Cikgu Mi dari Barisan Nasional pula.

“Cikgu Mi pernah jadi wakil rakyat dan banyak jasanya kepada rakyat dalam DUN ini. Maka, tak ada sebab makcik tak beri sokongan kepadanya,” katanya di sini.

Zaleha berkata, dia tidak takut untuk beralih selera, malah penduduk di DUN ini patut beramai-ramai beri sokongan kepada calon yang ‘mudoh baso sene kiro’ (mudah kira bicara) dengan rakyat.

Katanya, Cikgu Mi mempunyai perwatakan yang baik dan pengalaman lalu sebagai wakil rakyat turut menunjukkan beliau tidak sombong serta sentiasa ringan tangan menolong penduduk.

“Kita beri peluang sekali ini kepada BN dan rakannya Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Kelantan. Banyak tawaran disediakan untuk rakyat dan rugi jika kita tidak ambil peluang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.