JELI – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menerima beberapa nama calon yang bakal menjadi Menteri Besar Kelantan, sekiranya Pakatan Harapan-Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu pada 12 Ogos ini.

Beliau berkata senarai nama calon itu telah diserahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, baru-baru ini.

“Bagaimanapun kita tidak akan dedahkan berapa jumlah itu dan siapa calon itu sekarang ini, cuma kami sudah ada beberapa nama calon untuk menjadi Menteri Besar Kelantan.

“Hal ini kerana kita tidak mahu mendahului titah dan perkenan Sultan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Desa Cerdas KEMAS di Plaza IMT-GT Bukit Bunga, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pas Kelantan menjelaskan tidak perlu memberi bayangan siapa yang akan dipilih menjadi menteri besar di negeri itu, selagi PRN belum selesai. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast