Kawasan pekan Permatang Pauh antara yang didambakan penduduk untuk dibangunkan.

PERMATANG PAUH – Cara pemikiran pemimpin yang boleh membawa perubahan ke arah lebih baik antara pilihan wakil rakyat bagi penduduk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ramai dalam kalangan penduduk mendambakan kemajuan di kawasan mereka daripada segi pembangunan serta ekonomi.

Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan Permatang Pauh akan mencorak perubahan sekiranya pemimpin mewakili Kerajaan Negeri kekal selari dengan Kerajaan Pusat.

Keng Huat.

Pengundi DUN Permatang Pasir, Cheah Keng Huat, 77, menyifatkan Permatang Pauh akan membangun sekiranya wakil rakyat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau kita bagi dia (Anwar) untuk lima tahun lagi mesti tempat ini khususnya kawasan pekan akan maju dengan pembangunan termasuk perumahan bertingkat (pangsapuri).

“Kawasan ini milik dia dulu jadi parti itu (Pakatan Harapan) boleh menang balik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Salmah Othman, 65, dia agak terkilan dengan sikap pemimpin terdahulu yang dikatakan jarang jenguk penduduk atau masuk ke kampung selain pada musim kempen.

Salmah.

“Memang mak cik duduk kawasan Sama Gagah iaitu kubu Pas tapi tak semestinya orang parti itu. Cukup payah nak tengok depa (pemimpin) tanya khabar atau masalah penduduk.

“Jadi kalau kita (rakyat) mahukan perubahan kena tunjuk pada kertas undi dan kalau boleh kita tak mau pemimpin politik yang rasuah,” katanya.

Turut memberi pandangan sama, Nasir Aziz, 46, yang berpendapat Anwar perlu menjadi calon wakil rakyat di sini kerana rakyat lebih mengenali beliau dan kepimpinannya.

“Ramai orang kenal beliau di sini, jadi bila letak (tempatkan calon lain) sokongan itu tak sehebat untuk beliau.

Nasir.

“Selain itu, cenderung anak muda terhadap parti lain dilihat memberangsangkan kerana mereka mahukan kemajuan dan serta ekonomis di tempat asal (kawasan kelahiran),” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Rozita Zainon, 42,  mengharapkan perubahan dari segi ekonomi dan infrastruktur di  Permatang Pauh khususnya.

“Kalau kita tengok pekan Permatang Pauh hambar, pekan lama yang tidak membangun. Meskipun ada pelbagai kemudahan lain, keadaan jalan juga agak sempit di sini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.

Rozita.

“Jika ditanya berkenaan wakil rakyat pula, mana-mana kami sokong kerana kalah dan menang itu adat cuma kami mahukan pemimpin yang boleh bawa pembangunan dan ekonomi khususnya buat peniaga kecil,” ujarnya.

Terdapat tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Permatang Pasir, Seberang Jaya dan Penanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast