Gambar hiasan

PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bimbang peratus keluar mengundi akan kurang daripada 55 peratus selepas mengambil kira suasana pilihan raya yang masih “dingin.”

Jika keadaan suam-suam kuku itu berterusan pada minggu terakhir kempen, maka peratus mengundi Pilihan Raya Negeri Johor yang kurang daripada 55 peratus mungkin berulang.

Bendahari Bersih, Ngeow Chow Ying berkata, walaupun peratus keluar mengundi sukar dianggarkan, tetapi ramai orang mungkin memilih tidak mengundi kerana “penat politik” selain ada yang tidak dapat balik kampung untuk mengundi.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, pemantauan juga mendapati suasana pilihan raya enam negeri kali ini  sangat dingin dan mungkin menjejaskan peratus keluar mengundi.

Jelasnya, kajian Bersih mendapati jika pilihan raya negeri diasingkan daripada pilihan raya umum, maka peratus mengundi akan berkurangan antara 15 hingga 20 peratus.

Berdasarkan data, peratus keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah 54.55 peratus tetapi peratus keluar mengundi di negeri itu dalam pilihan raya umum lalu mencecah 75.27 peratus.

Kata Chow Ying walaupun kerajaan yang bakal dibentuk kelak masih sah dengan peratus keluar mengundi yang rendah, tetapi mandat yang diterima kerajaan itu mungkin tidak menyakinkan.

Beliau justeru menggalakkan orang ramai memandang berat pilihan raya negeri yang akan menentukan pembangunan sebuah negeri untuk lima tahun akan datang selain menyentuh isu-isu kemasyarakatan.

“Kerajaan tempatan, tanah dan agama adakah di bawah kuasa kerajaan negeri dan yang paling penting, kerajaan negeri yang melantik ahli majlis.

“Orang ramai akan mencari ahli majlis jika longkang dan lampu jalan ada masalah. Pilihan raya negeri justeru mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan harian kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast