REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini menawarkan enam inisiatif dalam visinya melestarikan penduduk dengan menyerlahkan potensi sebenar menerusi penggunkan sumber yang tersedia di kawasan itu.
Menurut beliau, enam inisiatif tersebut menggariskan keutamaan terhadap kesihatan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat, menaik taraf produk tempatan, memelihara hubungan antara adat, kaum dan budaya, menaik taraf dan memulihara ekopelancongan serta pelaksanaan dan peluasan liputan 5G.
“Secara amnya, saya akan meneruskan perancangan yang dibuat kepimpinan terdahulu melalui enam inisiatif tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Suhaimi, 43, diberi kepercayaan sebagai calon muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi mempertahankan kerusi DUN Kota yang dikenali sebagai kubu kuat BN.
Kerusi tersebut sebelum ini disandang oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11).
Suhaimi yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Shukri Abdul Shukor, 61.
Berhubung lawannya, Suhaimi menghormati Ahmad Shukri sebagai orang lama dalam arena politik namun yakin pengundi di DUN Kota akan memberi kepercayaan dan sokongan kepada beliau selaku calon BN.
“BN terbukti jauh lebih berpengalaman dalam menguruskan negeri dan negara selain mempunyai jentera parti yang mantap,” jelasnya.
Lulusan ijazah sarjana muda Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM) itu melihat penerimaan masyarakat terhadapnya semakin baik selepas beliau melawat semua pusat daerah mengundi (PDM).
“Sebagai calon baharu saya perlu menampilkan diri ke seluruh pelosok kawasan agar pengundi dapat melihat sendiri siapa calon BN,” katanya.
Suhaimi turut berpesan kepada pengundi agar mengekalkan kerusi DUN Kota di tangan BN agar selari bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan Pusat. – MalaysiaGazette