KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis yang terlibat mengundi awal esok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta melaksanakan proses demokrasi berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, mengundi adalah hak yang diamanakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilaksanakan.
“Tiada alasan untuk mana-mana pegawainya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, mengundi ini adalah satu hak yang diamanahkan kepada kita semua untuk dilaksanakan.
“Ini merupakan satu manifestasi kepada rakyat bahawa PDRM mendukung proses demokrasi dalam mengundi. Justeru itu, sila laksanakan akauntibiliti mengundi oleh semua warga PDRM yang terbabit.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat bertugas kepada semua warga PDRM yang terbabit sejak hari penamaan calon, tempoh berkempen dan tempoh mengundi pada Sabtu ini sehingga pasca PRN,” katanya ketika berucap pada amanat PRN warga PDRM.
Tambah Razarudin, warga PDRM haruslah melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah.
Katanya, setiap warga PDRM perlu menanamkan niat serta tekad yang tinggi untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan dengan penuh integriti ikhlas dan sabar.
“Kepada para petugas PDRM laksanakanlah amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah, kekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, kawalah emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi,” ujarnya.
Beliau memaklumkan seramai 47,728 pegawai PDRM dan pasangan mereka dijangka akan melaksanakan tanggungjawab di 260 pusat pengundian.
Ia melibatkan sebanyak 377 saluran mengundi telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Pusat Pengundian Awal.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing akan mengundi awal di enam negeri yang terbabit PRN di enam negeri. – MalaysiaGazette