KEPALA BATAS – Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini melancarkan manifesto mengandungi lapan teras dan 33 tawaran utama untuk mensejahterakan rakyat sekiranya berjaya menawan negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dominic Lau berkata, manifesto berkenaan akan dilaksanakan secara komited oleh gabungan PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan sekiranya diberikan mandat mentadbir negeri itu menggantikan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perbezaan terbesar antara manifesto PN dan manifesto PH di negeri berkenan yang diterajui DAP selama 15 tahun lepas sejak 2008 adalah manifesto lawannya hanya sekadar gambaran sahaja dan ia tidak dapat ditunaikan.
“Kalau kita lihat manifesto PH Pulau Pinang setiap kali membentangkan manifesto yang sama dan dia tidak dapat melaksanakan apa-apa yang dijanjikan jika menerima mandat.
“Tetapi pada hari ini, kami PN Pulau Pinang memang hendak memenuhi aspirasi rakyat negeri Pulau Pinang dengan tawaran lapan teras dan 33 tawaran utama bersifat sentrik rakyat, tatakelola pragmatik dan holistik.
Lapan Teras Manifesto itu adalah Memacu Kutuhan Ekonomi dan Menangani Kos Sara Hidup; Menjamin Kesejahteraan Rakyat, Meningkatkan Akses Pemilikan Rumah; Menjamin Kualiti Perkhidmatan Kesihatan; Memelihara Kelestarian Alam Sekitar; Memperkukuh Jaringan Pengangkutan Awam; Memacu Sektor Pelancongan dan akhirnya Memupuk Politik Matang.
Beliau membentangkan manifesto dalam Majlis Pengumuman PN itu di Seri Malaysia Bertam yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang merangkap calon DUN Sungai Dua, Fauzi Yusoff dan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Zulkefli Bakar yang juga calon DUN Penanti.
Presiden Parti Gerakan itu juga menambah, isu pemilikan rumah merupakan perkara yang besar dan bagi meringankan beban rakyat.
PN berjanji akan membina Rumah Rakyat Pulau Pinang dengan harga di bawah RM100,000, mengehadkan kenaikan kadar sewa semasa perumahan kerajaan dan mewujudkan kuota perumahan mesra komuniti setempat bagi mencapai visi satu keluarga, satu rumah.
“Dalam isu perumahan ini khususnya jika kami diberi mandat kita akan sekali lagi memastikan bahawa secara tegas menguatkuasakan 30 peratus daripada projek unit rumah yang dibina oleh pemaju di negeri ini diwajibkan untuk menyediakan rumah kos sederhana rendah (LMC) untuk anak-anak pulau pinang tanpa sebarang alasan.
“Ingat kita (PN) bukanlah developers action party yang hanya mementingkan syarikat-syarikat kroni,” ujarnya menyindir DAP.
Menyedari kesesakan melampau yang sering menghantui dan menjadi rungutan rakyat negeri ini, katanya PN berjanji mengkaji Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang agar memenuhi keperluan rakyat dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Bagi menangani kesesakan PN juga akan mengambil alternatif dengan memperkenalkan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) yang akan mengurangkan kesesakan.
‘Malah bagi memastikan para wakil rakyat kami benar-benar berkualiti dan konsisten mempeduli dan membela masalah rakyat aplikasi pemantauan khidmat ADUN akan diperkenalkan memastikan wakil rakyat kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain menubuhkan DUN Belia Pulau Pinang sejajar dengan ‘anak muda pemimpin masa depan negara’.
“Segala tawaran kami adalah raklyat centric dan bukannya bersifat populis. Era pemerintahan rejim DAP harus kita noktahkan di negeri bertuah ini dan persaingan puak ‘maharaja’ dalam DAP tidak memberikan manfaat kepada pembangunan rakyat dan negeri dan kini tiba masanya untuk membina kerajaan baharu lebih baik,” tegasnya. – MalaysiaGazette