Calon Barisan Nasional (BN) N.24 Semenyih, Wan Zulaika Anua beramah mesra bersama penduduk setempat semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pangsapuri Baiduri, Beranang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 07 OGOS 2023.

SEMENYIH – Kegigihan jentera dalam membantu serta memperkemas jadual setiap program menjadi motivasi kepada Wan Zulaikha Anua untuk bertemu seberapa ramai pengundi  ketika berkempen.

Meskipun beliau berada dalam keadaan kurang sihat akibat batuk dan selesema namun calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu tetap menguatkan tekadnya untuk tidak mengalah dengan keadaan kesihatannya.

Bekas pegawai bank itu tetap bersemangat mengetuk pintu dari rumah ke rumah dalam usaha memperkenalkan dirinya kepada pengundi memandangkan beliau merupakan calon muka baharu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program walkabout bertemu pengundi di Pangsapuri Desa Baiduri di sini Wan Zulaikha  tetap tabah untuk meneruskan kempen yang hanya berbaki kurang tujuh hari ini.

Katanya, meskipun kesihatannya kurang menyebelahinya namun melihat kepada semangat kental jentera kempennya yang mahu beliau menang di kerusi DUN itu, apa jua rintangan yang dihadapi akan diharungi dengan sebaik mungkin.

“Saya masih lagi kuat cuma kesihatan sajalah yang tak mengizinkan…saya takut nanti berjangkit kepada orang lain kerana saya batuk dan selesema. Sebab itu saya pakai mask (pelitup muka) ini.

“Insya-Allah saya akan teruskan (kempen) juga mengikut jadual apa yang disusunkan untuk saya,” katanya.

Wan Zulaikha berkata, kesihatannya agak merosot selepas beliau menziarahi rumah seorang penduduk yang sakit pagi tadi dalam program menyantuni pengundi yang telah disusun oleh jentera kempennya.

Bagaimanapun, beliau tetap mengambil langkah berwaspada ketika berkempen pada sebelah petang dan malam dalam memastikan tahap kebersihan serta keselamatan dijaga.

“Jadual kempen saya memang padat sangat….setakat ini, saya dahulukan program-program yang telah diatur di PDM-PDM (Pusat Daerah Mengundi).

“Saya akan pastikan semua program-program itu dihadiri bagi menghargai mereka yang telah bersusah payah mengatur semua itu bagi membantu kempen saya agar PH BN mencapai kemenangan di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Zulaikha berkata, sepanjang kempennya sejak penamaan calon minggu lalu banyak perkara yang didengari daripada penduduk Semenyih.

Justeru, agenda untuk memperkasakan infrustruktur di Semenyih akan tetap didahulukan jika mandat diberikan oleh pengundi di kawasan berkenaan kepadanya pada 12 Ogos ini.

Jelas beliau, antara perkara yang menjadi rungutan adalah mengenai padang yang tidak diselenggara dengan baik hingga akhirnya terbiar dan tidak digunakan.

“Itu adalah perkara baru yang saya dengar sebab sebelum ini saya katakan mahu mewujudkan mini stadium atau pusat sukan tapi, bila saya bersama mereka ada yang menyuarakan tentang padang yang tidak diselengarakan dengan baik. Itu kita akan ambil tahu.

“Ada juga yang menyuarakan berkenaan kawasan penempatan penduduk seperti taman perumahan tetapi jalannya dilalui oleh kenderaan-kenderaan berat dan ia boleh membahayakan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast