KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong yakin pengundi kawasan berkenaan akan menerima Kerajaan Perpaduan.
Mohamad Khir Ramli atau mesra disapa dengan panggilan Ustaz Khir berkata, masyarakat setempat akan menerima manfaat sekiranya wakil rakyat di kawasan berkenaan seiring dengan kerajaan memerintah.
“Sepanjang kami berkempen, alhamdulillah menunjukkan angka yang positif tapi saya tidak mendahului takdir Allah setakat ini respon penyokong amat baik.
“Kita kena tahu di tempat ini agak tertinggal kerana sebelum ini dikuasai pembangkang ketika itu, jadi sebab itu tempat ini perlu dipimpin kerajaan untuk pembangunan prasarana, jalan tidak elok, saya akan cuba sedaya upaya untuk memudahkan masyarakat di sini untuk nikmati apa yang kerajaan akan berikan dan salurkan untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang, hari ini.
Beberapa hari sahaja lagi menjelang hari mengundi, beliau kini sudah memulakan pecutan akhir berkempen.
Meskipun calon baru, Mohamad Khir yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang berkata, amalan politik matang tanpa menyerang saingannya adalah strategi berkempen sejak awal minggu lalu.
Beliau optimis cara itu juga akan dapat meraih undi DUN Sungai Burong.
“Saya cuma bawa diri saya dan bawa PH, Kerajaan Madani semua ini diterima masyarakat di DUN ini. Saya bersyukur bila kita bawa cara Islam dalam berkempen tidak memburukkan orang, bawa diri sendiri,” tambah beliau.
Dalam pada itu Mohamad Khir memberi jaminan akan menyelesaikan isu tanah di Sungai Burong jika dipilih menjadi wakil rakyat.
Ujarnya, kebanyakan tanah di kawasan berkenaan berstatus lesen pendudukan sementara (TOL).
Situasi tersebut, katanya, akan memberi risiko pengambilan tanah tanpa pampasan oleh kerajaan negeri.
“Saya berhasrat mengusahakan agar tanah-tanah berstatus setinggan dijadikan geran, contohnya Kampung Tok Adam, Sungai Kajang dan banyak lagi.
“Permohonan mereka sudah buat, ada yang sudah dapat TOL tapi dibatalkan.
“Saya akan membantu masyarakat yang menghadapi masaah ini untuk mendapatkan status kalau boleh bersifat kekal supaya masyarakat di sini tidak ada kerisauan kalau tidak bila-bila masa kerajaan boleh ambil tanah tanpa pampasa,” tambah beliau.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Mohamad Khir berdepan saingan dua penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang dan personaliti agama. – MalaysiaGazette
semua UMNO calon DUN di SELANGOR perlu berkata… hanya Allah yang menentukan segalanya…. BUKAN kenyataan kononnya “tidak mendahului Allah” hahaha…. rakyat fikir calon UMNO ni… macam tak takut Allah je.. ZAHID HAMIDI lagi lah….. sumpah kepada Allah dibuat macam main lato-lato je….