SHAH ALAM – Pertubuhan Profesor G70 (G70) hari ini menyatakan ikrar menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia dizahirkan menerusi lima deklarasi yang disampaikan Pengerusinya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud.
Menurut beliau, PRN ke-15 ini wajar dimanfaatkan oleh rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang demi memastikan negeri masing-masing teguh, beramanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat.
Tambahnya, Malaysia memerlukan kualiti kepimpinan baik di peringkat kerajaan negeri yang mampu menangani pelbagai isu rumit dan kepincangan masyarakat luar biasa yang belum pernah dihadapinya sebelum ini.
“Pilihan raya ini adalah ruang bagi rakyat di negeri berkenaan menyertai secara aktif dalam memilih sebuah kerajaan negeri yang mampu membina sebuah sistem urus tadbir dan tata Kelola kerajaan cekap, telus, bebas rasuah dan salah guna kuasa.
“Inilah masanya peluang terbaik bagi mereka memilih kerajaan negeri yang sehaluan dan boleh bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Yang di-Pertuan Agong di peringkat pusat demi menjamin pembangunan dan kemajuan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Teks deklarasi itu dibacakan Timbalan Pengerusi G70, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Hassan Basri.
Turut hadir, Penasihat G70, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan sebahagian daripada 72 ilmuan.
Lima dekrasi itu ialah;
1.Rakyat negeri-negeri berkenaan hendaklah menggunakan hak dan tanggungjawab masing-masing untuk memilih pada PRN-15 akan datang pakatan politik yang mendukung perpaduan nasional dan keadilan masyarakat dengan mengundi calon-calon yang memiliki prinsip integriti, amanah serta bebas dari amalan rasuah dan salah guna kuasa.
- Rakyat negeri-negeri berkenaan hendaklah memilih calon-calon daripada pakatan politik yang memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan negeri yang berteraskan prinsip tata kelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa terhadap kepentingan rakyat serta negara.
- Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar mendukung calon-calon dari pakatan politik yang bertekad untuk bersama-sama dengan kerajaan perpaduan YDPA untuk mengembalikan maruah negara, menegakkan keadilan sosial, meningkatkan keharmonian kaum, membina semula keyakinan pelabur, membaik pulih ekonomi dan seterusnya membina semula penghormatan dunia terhadap Malaysia.
- Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar menolak calon-calon daripada pakatan politik yang didapati telah mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan Kumpulan, dan;.
- Rakyat negeri-negeri berkenaan diseru agar menolak calon-calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum dengan melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya demi meraih keuntungan politik kepartian masing-masing.
Jelas beliau, setelah membuat pertimbangan teliti terhadap pakatan politik yang bertanding dalam PRN15 ini, mereka berpendirian bahawa kerajaan perpaduan Yang di-Pertuan Agong yang diketuai Anwar adalah paling layak untuk menerima mandat baru rakyat bagi menerajui kepimpinan kerajaan negeri.
Ini katanya, memandangkan dalam tempoh lapan bulan sahaja kerajaan perpaduan Yang di-Pertuan Agong berjaya menunjukkan prestasi urus tadbir dan tata kelola yang semakin baik.
Kerajaan ini dapat memelihara kestabilan politik, menarik pelaburan asing dengan peluang pekerjaan yang kian bertambah serta memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama dalam kerangka menjunjung keluhuran Perlembagaan Negara, kedudukan berperlembagaan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera.
“Maka, adalah wajar kerajaan perpaduan di peringkat pusat juga diberi peluang untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri demi perpaduan dan kemajuan negara ke tahap yang mengagumkan seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette