SHAH ALAM – Pertubuhan Profesor G70 (G70) menasihatkan ahli politik agar lebih berakhlak dan tidak sekali-kali mengeksploitasi isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi Raja Berperlembagaan.
Penasihatnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berkata, mereka sepatutnya menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam berpolitik tanpa menyentuh tiga isu yang dianggap paling sensitif.
“Isu 3R ini cukup penting kepada masa depan negara. Golongan tertentu tidak wajar menyalahgunakannya atau mengeksploitasikannya kerana ia tidak baik untuk negara.
“Sebagai orang politik yang terlibat dengan dasar dan perundangan, mereka harus menerima dari segi kedudukan Raja-raja dengan tidak mempermain dan mempersendakannya kerana tindakan ini akan menimbulkan rasa benci di kalangan tertentu terhadap raja.
“Begitu juga agama, sudah termaktub dalam perlembagaan dan kita harus hormati Keluhuran Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama persekutuan dan rasmi serta agama lain dibenarkan diamalkan oleh penganutnya. Mengapa tidak ambil yang positif?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengisytiharan Deklarasi G70 menyokong Kerajaan Perpaduan Yang di-Pertuan Agong di sini, hari ini.
Kata Dr. Osman, orang politik harus berakhlak agar mereka dihormati semua kaum dan bangsa.
Katanya, semua agama mengatakan tidak baik menabur fitnah, mencerca orang lain dan jika ajaran ini diikut, politik negara akan bersih serta aman damai.
“Jika ada juga yang mengeksploitasinya, saya fikir kerajaan harus adakan garis panduan. Sebab pada pendapat kami, dalam bidang politiklah yang banyak sekali melanggar etika.
“Politik kita sepatutnya ada etika dan akhlak, tapi banyak juga yang melanggarnya,” katanya.
Katanya, beliau dan 72 Profesor dalam G70 bukan orang politik kepada mana-mana parti.
“Saya sendiri tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik. Kami orang ilmuan, kami berpandangan jauh, kami tidak pandang apa yang akan berlaku lima tahun akan datang.
“Kami nak lihat satu generasi akan datang itu bagaimana? Jadi, kita sayangkan Malaysia, negara kita, maka kita fikir apa yang akan jadi pada masa depan anak cucu,” katanya.
Ditanya jika ada yang menuduh G70 aktif kerana hendak menyokong Perdana Menteri, beliau menegaskan, memang pertubuhan itu memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sebab beliau memberikan kepimpinan yang terbaik.
“Kalau ada lagi kepimpinan yang lebih baik (daripada Anwar) mestilah tunjukkan,” katanya. – MalaysiaGazette