PORT DICKSON – Rakyat Negeri Sembilan tidak perlu ragu-ragu untuk memilih calon-calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk selepas pilihan raya negeri (PRN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka dapat melihat sendiri Kerajaan Perpaduan telah mentadbir dan mengurus negara dengan baik.

Menurut beliau, selain itu, tiada komen negatif daripada rakyat berhubung prestasi Kerajaan Perpaduan sepanjang lebih lapan bulan lalu.

“Yang ada daripada Perikatan Nasional (PN) sebab dia tak nak Kerajaan Perpaduan.

“Kemudian dia marahkan kita pula, tuduh UMNO tubuh kerajaan bersama dengan DAP,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Santai Bersama Nelayan di Kampung Telok di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang yakin pengundi di Negeri Sembilan ingin mengekalkan kerajaan sedia ada.

Sementara itu, beliau memberitahu, jumlah ahli UMNO yang keluar parti setakat ini tidak ramai.

“Cuma digembar-gembur seolah-olah ramai dan mereka pun ada yang ingin berpatah balik kepada parti.

“Sebab semasa mereka keluar parti, mereka tidak faham Kerajaan Perpaduan terutama sekali dengan DAP,” jelasnya.

Wan Rosdy menambah, mereka sepatutnya sedar DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke kini adalah berbeza dengan yang dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast