KUALA LUMPUR – Kenyataan mantan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang seolah-olah mengapikan isu perkauman boleh menjejaskan peluang calon UMNO mendapatkan undi kaum lain terutamanya pengundi India pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Sumber dalaman tertinggi MIC berkata, parti terbesar masyarakat India itu terkilan dengan kenyataan Nazri yang mendakwa hanya DAP mewakili bukan Melayu bukannya MCA dan MIC.
Tambah beliau, bekas Menteri itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerjasama dengan DAP jika mahu menarik sokongan pengundi bukan Melayu kerana MIC dan MCA sudah hilang pengaruh.
Sedangkan katanya, jentera MIC sudah turun padang untuk membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Walaupun mereka tidak selesa dengan keadaan ini tetapi mereka mengikut telunjuk pucuk pimpinan MIC dan kita setuju menyokong PH selepas Perdana Menteri sendiri tampil memohon kita bekerjasama untuk kemenangan besar PH BN
“Tetapi apabila pemimpin UMNO yang secara terang mengatakan MIC dan MCA tidak penting, kenapa perlu kita bekerja untuk memastikan kemenangan calon dari UMNO?
“Maruah dan rasa hormat ini amat penting, ini juga dikatakan Presiden MIC minggu lepas,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, ahli MIC sekarang akan hanya bekerja untuk meraih sokongan kepada calon PH dan bukannya UMNO pada pilihan raya negeri yang bakal menjelang.
“Anggaplah ini pengajaran, kerana mulut Nazri semuanya binasa. Jangan salahkan MIC jika UMNO kecundang. Bukankah anda kata MIC dan MCA tidak diperlukan jadi biarlah. Kita tunggu keputusan PRN nanti,” ujarnya.
Kata sumber itu lagi, kehadiran MIC kini mendapat sokongan tinggi dalam kalangan pengundi.
“Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Saravanan telah melawat Pulau Pinang dan beliau disambut baik. Malahan ada ahli DAP yang menjemput beliau untuk berkempen untuk PH-BN di beberapa DUN. Hakikatnya kita ada rangkaian terbaik untuk raih undi kaum India.
“Parti ini mempunyai kekuatannya sendiri dan itu tidak boleh dinafikan. Jika Nazri mahu berkempen untuk DAP, biarlah. Kita juga tidak perlukan pemimpin lupa diri seperti Nazri,” tegasnya. -MalaysiaGazette