PORT DICKSON – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan mentaliti pucuk pimpinan Pas adalah jauh lebih rendah berbanding kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, sejak 1980-an sehingga kini, mereka masih menggunakan modal yang sama iaitu ‘undi Pas masuk syurga’.
Menteri Besar Pahang itu berkata, kepimpinan BN pula lebih memikirkan soal rakyat termasuk di Kelantan yang ditadbir oleh Pas.
“Kita janji di Kelantan, kalau kita menang, RM2,000 untuk mereka yang kahwin kali pertama, cukai tanah dan taksiran am kita kurangkan, nak tubuh universiti hafazan.
“Saya nampak mereka tak ada, masalah air 33 tahun tak diselesaikan, tak nampak usaha ke arah itu.
“Yang dia nampak bersama ke syurga. Kalau itulah mentaliti mereka, mana mereka nak bawa Islam dan Kelantan,” katanya dalam dalam sidang media selepas menghadiri program Santai Bersama Nelayan di Kampung Telok, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah di Setiu, Terengganu malam tadi bahawa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan Persekutuan.
Wan Rosdy percaya ramalan Abdul Hadi itu tidak akan berlaku sebab Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN terikat dengan perjanjian yang tidak membenarkan mereka melompat parti.
Selain itu, beliau berkata, Akta Antilompat Parti menetapkan bahawa mereka mesti mengosongkan kerusi yang disandang terlebih dahulu sebelum bertanding atas tiket parti yang baharu.
“Dahulu betul… kalau dia rasa nak pergi parti belah sana, dia boleh pergi begitu sahaja, sekarang tak boleh,” jelasnya. – MalaysiaGazette