GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berpendirian untuk memainkan peranan selaku pembangkang di Pulau Pinang sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia susulan objektif MUDA bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu untuk memberi pilihan alternatif kepada pengundi demi bagi memastikan semak dan imbang dalam dewan.
Jelas beliau, tidak timbul isu mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan apabila MUDA bertanding dalam PRN15 sebaliknya ia lebih untuk membawa suara rakyat yang dilihat kini kurang diambil peduli termasuk oleh pihak pembangkang.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku situasi dewan tergantung, kita akan berpihak kepada gabungan yang berpaksikan reformasi serta memperjuangkan pelbagai kaum.
“Pendirian MUDA kita tidak menyokong membuta tuli sebab itu di Parlimen contohnya apabila isu LCS cuba untuk didiamkan saya tidak ambil sikap berdiam diri sebaliknya bangkitkan serta cadangkan resolusi khas untuk isu itu.
“Malah, dalam bab ini saya juga telah maklumkan kepada semua pimpinan MUDA jangan takut bersuara demi rakyat. Biarlah kita nak diambil tindakan atau tidak tapi kita di sini untuk rakyat kita wajib bela rakyat. Itulah semak imbang bagi kami,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Bajet Muda Pulau Pinang di Pantai Jerejak di sini, lewat malam tadi.
Mengulas lanjut Syed Saddiq juga menyifatkan Kerajaan Perpaduan mengambil kesempatan dengan pilihan rakyat Malaysia mahukan kepelbagaian dan pembaharuan.
“Sebelum pilihan raya pelbagai janji mereka (PH) taburkan namun selepas berjaya membentuk kerajaan kita lihat mereka mengekalkan polisi lama.
“Tidak cukup itu, mereka menakut-nakutkan pengundi supaya mereka tidak mempunyai pilihan selain memilih (PH) dan ini bukan politik yang dicita-citakan MUDA,” katanya.
Untuk rekod MUDA bertanding di tiga kerusi DUN Pulau Pinang iaitu Perai, Pantai Jerejak dan Batu Uban. – MalaysiaGazette