ALOR SETAR – Berbaki dua hari lagi bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, Datin Noor Hasita Mat Isa berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi-pengundi di kerusi berkenaan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Ketua Wanita UMNO Kuala Kedah selama lima penggal itu berkata, biarpun tidak mudah, beliau akan terus berusaha merampas kembali DUN Anak Bukit dan berharap menambah kerusi untuk gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri selepas 12 Ogos.

“Jika terpilih sebagai wakil rakyat, sudah tentunya saya akan berikan komitmen sepenuhnya kepada penduduk Anak Bukit sebab nak membalas jasa dan budi penduduk Anak Bukit yang mengangkat saya sebagai wakil rakyat.

“Saya yakin mampu untuk melaksanakan tanggungjawab jika terpilih pada 12 Ogos depan dan berikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon BN yang pernah bertanding di DUN Pengkalan Kundur itu berkata, DUN Anak Bukit mempunyai potensi yang luas untuk dibangunkan di masa akan datang.

“Saya melihat pelbagai aspek yang perlu saya bangunkan di Anak Bukit ini. Anak Bukit ini akan berpotensi untuk kita majukan dan kita angkat ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai kempen PRN, Noor Hasita berkata, beliau dan pasukannya kini berada di gear lima dalam siri kempen untuk memenangi kerusi berkenaan.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, banyak input dan maklumat yang disampaikan oleh pengundi-pengundi di sekitar kawasan itu yang boleh digunakan untuk memenangi kerusi tersebut.

“Kempen dah masuk gear lima untuk kempen kita di PRN Negeri Kedah.

“Banyak perkara-perkara yang kita lihat dan dapat untuk kita gunakan dalam tempoh kempen berbaki dua hari lagi untuk tarik pengundi undi BN,” ujar bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid itu lagi.

Nor Hasita berdepan tentangan satu lawan satu di DUN Anak Bukit dengan calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Rashidi Razak.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), DUN Anak Bukit dimenangi bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Aminuddin Hamzah.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,579 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast