Sidang Media Pemuda Pas Pulau Pinang dakwa wujud cubaan bawa masuk penbgundi hantu dalam PRN Pulau Pinang Sabtu ini di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh hari ini.

PERMATANG PAUH – Pemuda Pas Pulau Pinang hari ini mendakwa wujud satu usaha memanipulasi proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Amar mendakwa, modus operandi gerakan itu akan mendapat dan mengumpul sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama golongan anak muda dengan imbuhan wang.

“Pihak berkenaan akan memberi balasan berbentuk wang ringgit kepada setiap pemegang kad pengenalan yang terbabit dalam gerakan itu.

“Kemudian kad pengenalan terbabit akan digunakan oleh ‘pengundi hantu’ untuk membuang undi bagi sesuatu parti tertentu dengan dokumen berkenaan hanya akan dipulangkan kepada pemilik sebenar selepas PRN selesai,” katanya dalam sidang media di Kampung Sama Gagah, di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media, Naib Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah wang yang terlibat untuk setiap pemegang kad pengenalan terbabit.

Tambahnya, Pemuda Pas negeri percaya tindakan berkenaan merupakan satu skandal penipuan pilihan raya yang terdesak dengan kaedah ‘menyewa’ kad pengenalan pengundi sebagai cubaan terakhir untuk memperoleh kemenangan secara kotor, tidak bersih dan tidak adil.

Sementara itu, Mohamad Ikhwan Afiq mendakwa, pihaknya turut diberitahu wujud perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi bagi memenangkan parti tertentu.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak cubaan terdesak dan penipuan cuba dilakukan pihak tertentu, dikatakan semata-mata untuk memperolehi kemenangan pada PRN kali ini.

“Pilihan Raya sepatutnya menjadi padang rata untuk semua pihak bertanding secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang, tidak kira sama ada bertanding itu parti kerajaan semasa, pembangkang ataupun bebas.

“Skandal penipuan sebegini tidak akan mendatangkan demokrasi di negara ini. Kami berharap pengundi dapat memberi kerjasama untuk membanteras dan mencegah skandal penipuan terbabit di peringkat awal, sebelum ia berlaku.

“Pemuda Pas Pulau Pinang meyakini integriti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia dan petugasnya, tetapi semua pihak perlu mengambil berat terhadap usaha memanipulasi pilihan raya dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa, jika kes ini berlaku di sekeliling anda,” ujarnya.

Ditanya sama ada Pemuda Pas Pulau Pinang akan membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit, Mohamad Ikhwan Afiq berkata, setakat ini pihaknya tidak bercadang  untuk mengambil tindakan.

“Setakat ini kami baru terima maklumat berkaitan usaha ini menerusi program dan siri kempen, sejak kelmarin, selain tiada bukti kukuh untuk melaporkannya kepada polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast