HARI mengundi umum PRN hanya tinggal beberapa hari lagi. Rakyat dari enam buah negeri akan memilih para pemimpin mereka untuk menerajui kerajaan-kerajaan negeri untuk lima tahun akan datang.

Persaingan sengit dua gabungan parti terbesar iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka lebih rancak menarik pengundi dengan mengetengahkan pelbagai isu semasa yang boleh menukar fikiran rakyat dan menjelmakan persepsi politik kepada para pengundi dari enam buah negeri berkenaan.

Dalam isu ini, pada pandangan saya, semua parti politik, khususnya PH-BN dan PN harus mencari titik persefahaman untuk membina jalinan pengukuhan budaya politik yang lebih matang.

Barangkali ada isu yang membuatkan parti-parti politik bertelagah atau tidak berpuas hati dengan iau-isu yang tular di media massa, tetapi satu hal yang harus diingat bahawa kemelut pasca pendemik Covid-19 yang membawa kepada permasalahan ekonomi dan sara hidup rakyat pada ketika ini harus diberi keutamaan berbanding dengan perebutan politik yang merugikan rakyat dan negara.

Percaturan sekarang bukanlah satu ugutan atau ancaman dalam senario politik sekarang, tetapi membina keserasian politik terutamanya dalam menghadapi ancaman masalah sosioekonomi global yang berlaku pada masa kini.

Dalam hal ini, sebagai gabungan Kerajaan Madani sudah menjelmakan suatu kekuatan konteks pemeliharaan taraf hidup rakyat, mengetengahkan pelan dan perancangan untuk memajukan negara terutamanya menghadapi konflik dan kontroversi politik yang berlaku sekarang.

Tindakan BN menyokong kepimpinan negara yang diterajui oleh Kerajaan Madani menunjukkan bahawa BN bersedia berkorban menaruh kepentingan rakyat dan negara, bersama-sama di barisan hadapan kerajaan untuk menghadapi cabaran dan kesengsaraan rakyat mengharungi polemik ekonomi global dan pasca pandemik gelombang ketiga ini.

Saya tidak menolak bahawa Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar ini boleh ke depan dan meneruskan kuasa mengepalai pimpinan negara sekiranya beliau mampu untuk membuka ruang kerjasama dengan parti-parti politik lain tanpa mengira fahaman politik untuk membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat negara ini.

Dalam hal ini juga, BN tidak boleh membelakangkan teras prinsip perjuangan politik dan partinya sekiranya ia mahu berkuasa.

Perjuangan parti harus diberi keutamaan di samping mempunyai niat murni untuk menjaga kebajikan dan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat.

Ini bukanlah waktu terbaik untuk melakukan perebutan kuasa dalam kencah masalah sosioekonomi yang serius dihadapi negara.

Tambahan pula, bulan Oktober nanti akan berlakunya pembentangan belanjawan negara untuk tahun hadapan.

Sudah pasti kemelut perebutan kuasa nanti akan menjejaskan nilai pelaburan asing di negara ini kerana mereka tidak berasa selesa dengan langkah mengetepikan perancangan hala tuju belanjawan negara berikutan menghadapi kemelut politik tanah air.

Sampai masanya sekarang, rakyat tidak mahu terbeban dengan kemelut politik, sebaliknya para pemimpin parti politik perlu segandingan bahu mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat kemelut ekonomi ini.

Rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosio ekonomi mereka, bagaimana mereka akan meneruskan kelangsungan kehidupan, bukannya memperjudikan nasib mereka di atas senario politik tak menentu.

Penyatuan parti sangat bernilai untuk mengembalikan kembali tahap ekonomi di negara ini.

Cadangan mengadakan gencatan politik sementara selepas PRN dan PRK adalah suatu solusi terbaik untuk membolehkan mana-mana kerajaan yang mentadbir negeri nanti akan memfokuskan kepada strategi pembasmian rakyat miskin dan meredakan ketegangan polemik sara hidup rakyat akibat keciciran dalam dilema ekonomi global hari ini.

Hal ini diperjelaskan oleh Anwar menunjukkan Kerajaan Madani pimpinannya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik dan memberikan keyakinan kepada rakyat serta para pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional dan membelakangkan persengketaan politik demi masa depan rakyat dan negara ini.

Kalau dilihat apa yang berlaku di beberapa buah negara di Timur Tengah dan Asia termasuk negara jiran kita seperti Thailand, kegagalan pembentukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu negara itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap strategi politik pemerintah.

Gesaan penyatuan parti-parti politik berperanan secara profesional tatkala menghadapi ancaman ekonomi dunia inimerupakan solusi terbaik untuk melestarilan budaya politik Malaysia tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Inilah hakikat perjuangan yang sebenar untuk memburu kemajuan rakyat dan negara bangsa yang kita bina dan kita semai sehingga hari ini. -MalaysiaGazette

TS. Dr. Syed Agil Alsagoff

Penulis adalah Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast