BALING – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa terdapat agensi besar luar negara yang menyalur dana kepada parti kerajaan yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk memastikan mereka kekal berkuasa.
Beliau yang juga Pengarah PRN Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha itu juga bagi mengelak keputusan enam pilihan raya ini tidak menjadi referendum untuk mereka berundur dari Putrajaya.
“Duit datang daripada luar negara, aku tak tahu dari mana. Ada agensi-agensi besar derma duit dekat mereka untuk pastikan mereka ini kekal berkuasa supaya enam negeri ini tidak menjadi referendum yang memaksa mereka berundur dari Putrajaya
“Seluruh dunia sekarang ini beri perhatian supaya PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) kekal menjadi Kerajaan Persekutuan
“Saya tidak menuduh mereka bekerjasama, tapi saya ada maklumat datang duit yang begitu banyak untuk pastikan PH-BN kekal menang,” katanya ketika berucap pada Program ‘Gathering’ Anak Baling Bersama Menteri Besar Kedah di Padang Awam Kampung Lalang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menasihati pengundi PN agar mengambil wang jika diberikan oleh parti lawan tetapi jangan mengundi parti mereka.
“Bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi lembu heret, beri motor pun ambil tapi undi PN.
“Kalau datang orang kepada tuan-tuan bawa duit berguni-guni, balas (ambil), undi jangan bagi, kalau duit ambil beri undi rasuah, dah mereka banyak duit sangat,” katanya.
Muhammad Sanusi juga menyarankan petugas parti PN agar lebih berhati-hati dan tidak ambil mudah ketika pada hari pengundian Sabtu ini.
“Jaga peti undi molek-molek, petugas-petugas kita perhati molek, jangan tukar, bukan masa nak pergi hantar pusat perjumlahan, tukar masa kita ‘ralit’ dalam pusat pengundian itu.
“Petugas jangan kerdip mata, jangan keluar dok main TikTok, jangan keluar hisap rokok daun lama-lama, perhati tong undi itu, jangan ada yang bawa lari tukar dengan tong lain.
“Saya dengar ini ada pasukan-pasukan khas yang pernah dikursuskan untuk menukar tong undi sedang berkeliaran di Kedah ni, tuan puan pakat jaga belaka,” katanya. – MalaysiaGazette