Ramanan hadir memberi sokongan kepada calon PH Lembah Jaya, Altimet.

KUALA LUMPUR- Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet mampu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan berdasarkan sokongan yang ditunjukkan penduduk Lembah Jaya kepada penyanyi rap terkenal itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menambah, usaha dan inisiatif Altimet selama sembilan bulan sebagai Penyelaras Keadilan Lembah Jaya semakin menampakkan hasil

“Rata-rata gembira dengan adanya calon seperti Altimet yang bukan sahaja muncul ketika berkempen sejak dua minggu ini sebaliknya sudah lebih sembilan bulan bersama penduduk di sini.

“Banyak usaha yang telah dilakukan oleh Altimet, sekurang-kurangnya beliau telah banyak menghabiskan masa mendengar isu semasa, kalau tidak dapat diselesaikan serta-merta, beliau tetap berusaha untuk menyelesaikannya.

“Itu yang dikehendaki oleh rakyat pada masa ini, bukan berpolitik sahaja sepanjang masa tetapi tuding jari salahkan semua pihak sehingga isu-isu rakyat diketepikan.

Saya yakin dengan sokongan penuh diberikan rakyat Lembah Jaya dan barisan pimpinan kepada Altimet untuk PRN ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kerusi DUN Lembah Jaya pada PRN 15 menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Altimet dan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sharifah.

Dalam pada itu, Altimet menawarkan lima teras yang menggariskan fokus kepada belia dan kerjaya, perkhidmatan dan prasarana, pendidikan dan latihan, ekonomi dan sosial masyarakat serta kebajikan warga emas dan peranan wanita.

“Visi saya adalah bangunkan Lembah Jaya untuk jadi lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan,” ujarnya. -MalaysiaGazette