Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

GOMBAK – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia tidak berhasrat untuk memegang jawatan sebarang jawatan apatah lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, dakwaan menerusi poster yang tular di media sosial bahawa beliau akan menggantikkan Datuk Seri Amirudin Shari adalah permainan politik yang jijik dan tidak laku.

“Saya fikir mereka terlalu terdesak, mereka sudah tiada lagi strategi lain akhirnya terpaksa melaga-lagakan BN dan Pakatan Harapan (PH), tetapi saya fikir ini satu perbuatan yang orang tahu siapa buat.

“Dengan jelas, saya tidak berminat, walaupun itu jawatan Menteri Besar atau Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana saya hanya ingin menjadi seorang ADUN.

“Selebihnya akan meneruskan perkhidmatan saya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membantu kampung dan desa di Selangor khusunya Gombak Setia,” katanya.

Poster tular yang mendakwa Datuk Megat Zulkarnain Omardin bakal menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor

Beliau berkata demikian kepada media selepas Ceramah Perdana Arus Merah Kuning Dun Gombak Setia di Tapak Uptown Sri Gombak, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony.

Terdahulu tular poster yang bertajuk “Amirudin bakal diganti, Megat MB Selangor baharu?”.

Jelas Pengerusi BN Selangor itu, gabungan kedua-dua parti BN-PH telah bersetuju untuk terus mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya tidak pernah terfikir pun jawatan itu, apa yang penting kita mahu memastikan Kerajaan Perpaduan terus memimpin Selangor dan kita sudah bersetuju (Aminuddin kekal sebagai menteri besar).

“Saya juga sudah berulang kali menyatakan kita mendokong dan memastikan Amirudin kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya (ingin) menasihatkan mereka supaya lebih praktikal dan janganlah main politik yang kelakar seperti ini. Rakyat tidak berminat dan mereka (parti lawan) tahu tidak mampu bersaing dengan jentera.

“Data juga menunjukkan kita dan calon-calon lain Kerajaan Perpaduan di landasan yang betul untuk menang pada 12 Ogos ini. Jadi hentikanlah permainan politik seperti ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast