Calon Pakatan Harapan N.10 Bukit Melawati, Thiban Subramaniam menenangkan warga emas yang menangis meluahkan perasaan pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2023.

KUALA SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Thiban Subramaniam berikrar untuk menyelesaikan isu-isu membelenggu penduduk setempat melalui manifesto ‘Lima Tekad’.

Kata Thiban, melalui kempen beliau selama hampir 12 hari ini, pelbagai maklum balas, keperluan dan cadangan telah dikemukakan oleh warga Bukit Melawati kepadanya.

Susulan daripada itu, beliau telah merangka manifesto Lima Tekad Thiban hari ini bagi menyelesaikan isu setempat selain memajukan warga DUN Bukit Melawati.

Kata Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, fokus utama ialah menyelesaikan isu pengangkutan dan pendidikan pada tahun ini juga.

Jelas Thiban, beliau memandang serius isu kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan termasuk pekan Kuala Selangor terutama pada hujung minggu sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

Selain itu, Thiban mahu membawa masalah kemudahan asas institusi pendidikan yang uzur kepada Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Calon Pakatan Harapan N.10 Bukit Melawati, Thiban Subramaniam menaiki motosikal pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2023.

Tiga lagi fokus utama Thiban adalah meningkatkan ekonomi setempat, mewujudkan projek perumahan Rahmah bawah RM100,000 serta pembangunan kemudahan sukan di kampung tradisi.

“Masalah dan isu yang saya sebutkan ini adalah realiti, walaupun pahit rata-rata penduduk terpaksa terima selama ini tetapi saya ikrar untuk selesaikan ianya sebaik mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Thiban juga memaklumkan Bukit Melawati berpotensi dibangunkan sebagai hab pelancongan di Selangor, dibantu dengan pembinaaan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap pada 2025.

“Banyak potensi dan banyak yang boleh dilakukan, saya mampu lakukan yang terbaik andainya diberikan mandat wakil rakyat,” ujarnya.

DUN Bukit Melawati yang mempunyai 37,956 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Noorazley Yahya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini. -MalaysiaGazette