Pengerusi Barisan Nasional Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

ALOR SETAR – Gabungan Pakatan Harapan -Barisan Nasional (PH-BN) Kedah berpandangan pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) yang diumumkan Perdana Menteri ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri sedang berlangsung, bukan satu isu besar.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah semestinya memikirkan masa dan ketika yang paling sesuai untuk membuat pengumuman yang memberi manfaat kepada semua pesawah di seluruh negara.

“Saya fikir (ia) bukan masalah, sama ada (pengumuman) dibuat ketika pilihan raya atau di luar tempoh pilihan raya sebab (ia) sesuatu yang baik untuk rakyat.

“Kalau kebetulan masa pilihan raya yang itu kira ok la kan.

“(Kerajaan) juga mengambil kira kemampuan kewangan negara (sebelum membuat pengumuman), kalau ada kemampuan, kenapa tidak,” katanya pada sidang media di  Bangunan Ibu Pejabat UMNO negeri, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pada itu, Mahfuz berpendapat, pengumuman itu dibuat semata-mata untuk meringankan beban pesawah.

“Saya berpendapat, tempoh pengumuman adalah tepat kerana ketika ini adalah musim menuai.

“Kalau PM tunggu selepas pilihan raya, pesawah akan rugi kerana mereka akan terlepas subsidi ini,” katanya dalam sidang media yang sama.

Semalam, Anwar mengumumkan kenaikan kadar SSHP daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah menaikkan SHPP membolehkan pesawah di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan metrik tuaian padi mereka selepas ini.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Lermai.

Daam perkembangan lain, Mahadzir berpendapat, PH-BN berada pada tahap yang menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan atau sekurang-kurangnya meletakkan gabungan itu di hadapan dalam persaingan dengan Perikatan Nasional (PN).

“Saya dapat laporan, Datuk Mahfuz dan pimpinan parti juga dapat maklumat, Kerajaan Perpaduan ini mendapat sokongan daripada pelbagai kaum.

“Semalam, kami tengok peratus sokongan meningkat di kebanyakan DUN manakala dari segi kaum pula sangat progresif.

“Ini sesuatu yang baik dan menarik di Kedah,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mungkin semua calon UMNO ini la gayanya… cakap MERAPU pelbagai alasan… hoi calon-calon UMNO…. pengundi bukan budak tadika hingga darjah enam…. pengundi berumur antara 18 hingga hampir seratus tahun la… cakap macam BODOH BODOH jer…

Comments are closed.