S Arutchelvan

KAJANG – Parti-parti gergasi yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak perlu menabur janji untuk menarik perhatian rakyat memilih mereka sebagai kerajaan selepas 12 Ogos ini.

Sebaliknya, parti-parti politik berkenaan perlu menunjukkan rekod prestasi yang pernah dilakukan ketika mereka berkuasa supaya rakyat menilai kebenarannya, kata calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) DUN Kajang, S Arutchelvan.

Menurut Arutchelvan atau Arul, janji merupakan satu perkara mudah dilafazkan ketika berkempen namun, hakikatnya sukar untuk dilaksanakan.

“Semasa pilihan raya, dua-dua parti (Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)) pun buat benda yang sama, mereka taburkan janji.

“Saya ingat rakyat tak begitu yakinlah. Kita kena ada polisi-polisi yang bagus. Polisi yang ada pada hari ini ia tidak jelas, tidak memperkasakan dan tidak membina,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama PSM, di sini, hari ini.

Arul ditanya mengenai pandangannya berhubung manifesto PN yang menawarkan tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran untuk rakyat Selangor jika diberikan mandat pada PRN 12 Ogos ini.

Tawaran PN Selangor itu dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Tawaran PN di sebuah hotel di Shah Alam pada Jumaat lepas.

Manifesto PN Selangor yang dilancarkan merangkumi usaha menangani isu kos sara hidup, masalah pekerjaan, integriti, pendidikan dan pendapatan rakyat.

PN turut menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung di dalam tawaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Arul yang juga Timbalan Pengerusi PSM berkata, jika benar PN boleh menunaikan tawaran sedemikian, peruntukan pembangunan perlu diserah kepada pihak yang menguruskan seperti jawatankuasa penduduk kerana mereka lebih mengetahui apa yang hendak dilaksanakan dan itu lebih baik.

Sebaliknya beliau berkata, sekiranya peruntukan tersebut diberi kepada wakil rakyat atau ahli politik untuk tujuan mengurus ia mungkin tidak jadi sebagaimana yang diharapkan.

“Kalau bagi kepada ahli politik, mereka akan buat satu majlis yang besar-besar, duit yang sepatutnya pergi kepada rakyat tak sampai pun.

“Kalau PN lakukan itu ia seperti pertandingan, siapa boleh hulur duit lebih banyak. Ini tidak membantu penyelesaian kepada rakyat,” ujarnya.

Tegas Arul, ia berbeza dengan PSM kerana parti itu mempunyai pengalaman membantu rakyat dalam banyak situasi kerana mereka sendiri terlibat dengan kerja-kerja sosial.

Katanya, PSM perlu menjadi penyemak dan imbang di dalam DUN bagi memastikan apa yang dijanjikan oleh parti politik gergasi ketika berkempen hinggalah berjaya membentuk kerajaan negeri dapat ditunaikan tanpa ada sebarang alasan.

“Bezanya PSM ini kita bukan nak jadi bos kepada rakyat, tapi kita akan bersama dengan rakyat.

“Kita juga akan pastikan segala masalah yang dihadapi mereka dapat diselesaikan dan ada tindakan yang diambil dengan segera. PSM ini membina politik dari bawah ke atas bukan dari atas ke bawah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast