Anuar menunjukkan rakaman video kejadian banjir yang kerap melanda Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan sejak 50 tahun lalu

SEREMBAN – Lebih 500 penduduk di Kampung Tengah, Lenggeng di sini hidup dalam kebimbangan ekoran masalah banjir yang tidak pernah selesai sejak 50 tahun lalu.

Dakwa penduduk, walaupun wakil rakyat silih berganti, masalah itu terus berlaku berpunca daripada sistem perparitan primitif daripada tanah yang tidak pernah dinaiktaraf.

Penduduk Anuar Zulkarnain, 53, berkata, setiap kali hujan lebat selama satu jam, laluan utama masuk ke kampung berkenaan akan menjadi lautan yang membahayakan nyawa mereka.

Anuar Zulkarnain

“Puncanya apabila air dari arah bukit terus ke kampung dan bila sistem saliran primitif di sini pula kecil, ia tak mampu tampung jumlah air menyebabkan rumah tenggelam malah habis pagar pun runtuh.

“Memang amat kecewa kerana bila air naik, kawasan jalan utama masuk kampung ini dah jadi macam lautan, kereta nak keluar masuk pun tak boleh, anak-anak nak ke sekolah pun terpaksa ponteng,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Anak jati Kampung Tengah, Maamor Ismail, 66, berkata, dia tidak menyangka masalah itu yang berlaku sewaktu dia berusia belasan tahun masih gagal diselesaikan pemimpin yang dipilih.

Maamor Ismail

“Kalau waktu zaman kecil dahulu, memang betullah seronok main banjir, takkanlah dah tua-tua macam ini pun masih kena hadap masalah ini lagi yang sepatutnya dah lama ditangani.

“Dah 50 tahun, kalau minum pagi di warung kampung pun, isu inilah yang dibualkan penduduk sebab itu kali ini penduduk akan tengok betul-betul apakah calon Pilhan Raya Negeri (PRN) kali ini betul-betul boleh jadi pemimpin,” katanya.

Pandangan sama dilontarkan warga emas, Rusna Ismail, 71, pesara kerajaan yang berharap wakil rakyat kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Lenggeng dipilih 12 Ogos ini dapat menoktahkan derita penduduk sejak lima dekad lalu.

Rusna Ismail

Sementara itu, permasalahan penduduk itu mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) DUN Lenggeng, Mohd Asna Amin, yang berjanji akan menamatkan derita penduduk selepas menang PRN Sabtu ini.

“Berdasarkan pemerhatian tadi, saya lihat masalah ini berpunca apabila longkang utama tidak diselenggara dengan baik yang mana ia tidaklah memerlukan belanja terlalu besar untuk diatasi.

“Dari segi kos pula saya nampak tak mahal pun, mungkin bajetnya tak sampai RM1 juta dan ini mungkin akan menjadi tugas pertama saya jika dipilih menjadi wakil rakyat Sabtu ini,” katanya.

Mohd Asna mendengar rintihan penduduk mengenai kejadian banjir yang kerap melanda Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan sejak 50 tahun lalu

Pada PRN kali ini, Mohd Asna berdepan pertembungan tiga penjuru dengan calon PN, Mohd Fadli Che Me dan calon Bebas, Zul Azki Mat Sulop.

Pada PRU-14, kerusi tersebut dimenangi PH menerusi calon Amanah, Suhaimi Kassim dengan majoriti 986 undi menewaskan dua calon lain termasuk calon BN, Mazalan Ma’arop sekali gus mengakhiri penguasaan BN di situ selama 13 penggal.

Namun, pada PRN Sabtu ini, kerusi DUN Lenggeng ‘dihadiahkan’ kepada BN yang kini bekerjasama dengan PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast