KUANTAN – Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dijadikan institusi perintis untuk bekerjasama dengan Wakaf Pahang bagi memantapkan kelengkapan perpustakaan menerusi sumbangan dari dana wakaf.
Menurut Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md Daud, sejumlah RM50,000 dana wakaf telah disalurkan ke institut tersebut pada Januari lalu.
“Menerusi dana yang disalurkan itu, membuktikan Wakaf Pahang prihatin dalam memajukan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pengetahuan bagi komuniti pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sumbangan Pemantapan Perpustakaan Oleh Wakaf Pahang di Perpustakaan UCYP, Kampus Utama Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Dalam program itu juga telah dilancarkan portal sumbangan wakaf Perpustakaan UCYP kepada orang awam selari dengan sasaran sumbangan RM100,000 yang ditetapkan Wakaf Pahang sebagai sebahagian usaha membina hubungan sinergi antara universiti dan masyarakat.
“Selain itu, warga UCYP juga akan bekerjasama menggerakkan usaha mengumpul dana wakaf bagi menambahkan kelengkapan di perpustakaan UCYP secara berterusan,” tambahnya.
Jelas Halidan, sumbangan terbabit tidak hanya menyediakan akses kepada buku rujukan yang relevan, malah membantu memperbaharui fasiliti perpustakaan bagi keselesaan dan kualiti pembelajaran yang lebih baik.
“Insya-Allah, susulan kejayaan kerjasama dengan UCYP, Wakaf Pahang akan mengembangkan program ini di pusat-pusat pengajian lain di negeri ini,” ujarnya.
Selain kerjasama terbabit, Wakaf Pahang dan pihak UCYP juga dalam perancangan memperkukuh kerangka program Generasi Wakaf (Gen W).
Kolaborasi yang dijangka dimeterai secara rasmi dalam tempoh dua bulan itu menjadikan fokus utama membentuk sukarelawan wakaf dalam kalangan pelajar.
Selain terlibat dalam menyampaikan makumat tentang wakaf dalam program-program yang dianjurkan, katanya dengan menjadi sebahagian Gen W, para pelajar diberi pendedahan merasai sendiri situasi sebenar di lapangan. – MalaysiaGazette