JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata walaupun UMNO parti yang berteraskan perjuangan Melayu dan Islam, namun hak-hak bukan Melayu tidak dipinggirkan.
Meskipun jumlah sokongan bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin berkurangan namun katanya, kaum itu juga tidak dilayan baik oleh Perikatan Nasional (PN) terutamanyanya.
Sehubungan itu, Nur Jazlan menasihatkan pengundi bukan Melayu untuk berfikiran lebih jauh dalam memilih calon untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
“Saya bukan hendak mengungkit, tetapi itu adalah fakta sejarah. Orang bukan Melayu kena imbas balik selama 60 tahun lepas siapa yang menjaga kebajikan dan kepentingan mereka, jawapannya adalah UMNO dan BN.
“Umum sudah tahu di sebalik wajah kononnya suci parti PAS, berlakunya pergolakan dalaman yang cukup parah.
“Pergolakan dan pertembungan dalam parti yang kononnya perjuangkan Islam itu bukan perkara baru.
“Ia sudah berlarutan sejak PAS ketiadaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang cukup disegani serta dihormati baik ahli PAS mahupun orang luar parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai menambah, orang bukan Melayu juga perlu sedar jumlah pengundi mereka juga semakin berkurangan berbanding pengundi Melayu dan ia bakal memberi kesan masa hadapan jika mereka salah memilih.
Jelas beliau lagi, dalam situasi di mana pengundi Melayu semakin berfikiran urban dan bersifat progresif juga sudah mula menolak Pas, kaun bukan Melayu pula perlu bijak membuat pilihan supaya masa depan mereka tetap terjamin di bawah kerajaan yang boleh dipercayai.
“Nasihat saya, biarlah UMNO saja yang tinggal sebagai parti alternatif untuk terus membela bukan Melayu dan bukannya Pas, Bersatu, Pejuang dan lain-lain.
“Jadi bukan Melayu mesti kembali menaruh kepercayaan kepada UMNO dan BN pada PRN kali ini,” katanya.-MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL