Shahidan UMNO keramat
Shahidan Kassim bersama penyokong PN pada Program Ceramah Kelompok DUN Rantau sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Kampung Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 10 OGOS 2023.

SEREMBAN – UMNO tidak akan lagi menjadi parti keramat sekiranya kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan ketika ini, UMNO menduduki tempat ketiga di belakang DAP dan PKR.

Menurut beliau, DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen diikuti 31 kerusi disandang PKR manakala UMNO hanya ada 26 kerusi sahaja.

“Kalau mereka terus bekerjasama pada pilihan raya akan datang bererti UMNO bukan lagi parti keramat.

“Kalau UMNO dengan kami, insya-Allah mereka akan didukung bersama,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Tiroi, Labu di sini malam tadi.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji bahawa parti itu akan terus bersama dengan PH dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shahidan yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO percaya, ramai ahli parti tersebut akan menolak sekiranya undian dibuat berhubung komitmen untuk terus bersama dengan PH.

Beliau menambah, Ahmad Zahid juga tidak layak untuk terus memimpin UMNO kerana Timbalan Perdana Menteri itu kini menjadi beban kepada parti.

Malah Shahidan mendakwa, Ahmad Zahid turut menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan dan PH.

“Kes-kes Ahmad Zahid akan menjejaskan usaha Anwar untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang hebat,” jelasnya. – MalaysiaGazette