Dr. Maszlee dalam Ceramah Grand Finale Kita Selangor DUN Sungai Tua.

GOMBAK – Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) berjanji akan menguruskan Selangor dengan lebih baik lagi menerusi tawaran Lima Tekad jika diberi peluang untuk mentadbir bagi penggal ke-15.

Selepas 12 Ogos ini, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Maszlee Malik yakin PH-BN diumumkan menang dengan bergaya dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor akan terus bekerja untuk melaksanakan janji itu.

Perkara itu tidak mustahil menjadi kenyataan kerana warga Gombak telah menunjukkan kepercayaannya kepada Amirudin dengan mengalahkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRU15 November lalu.

“Rakyat Gombak dan Selangor khususnya bertuah kerana dapat kerajaan PH dan BN yang tidak henti-henti membantu serta membela mereka dengan 1001 tawaran untuk dinikmati pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama.

“Sejak dari lahir sehingga kepada yang meninggal dunia pun dapat manfaat daripada kemudahan dan tawaran yang disediakan kerajaan negeri, termasuk untuk golongan wanita, lelaki, tua muda, anak kecil, dewasa, pelajar dan penuntut.

“Ada yang kata PH-BN (tabur) janji sahaja tapi tidak boleh buat. Berani saya katakan, itu di tempat lain bukan di Selangor dan di negeri yang PH-BN memerintah,” katanya dalam Ceramah Grand Finale Kita Selangor DUN Sungai Tua malam tadi.

Maszlee berani berkata demikian kerana Selangor bawah pimpinan 15 tahun PH mempunyai rekod yang baik dan cemerlang dan mentadbir negeri dan mengurus rakyatnya.

Tambahan pula, katanya, tawaran Lima Tekad itu bukan perkara baharu sebaliknya telah dilaksanakan dan tunggu masa untuk penambahbaikan sahaja jika diberi peluang memerintah selepas 12 Ogos ini.

“Tawaran Kita Selangor, 5 Tekad untuk lima tahun ini sebahagiannya telah kita laksanakan dan penggal ini adalah untuk kita tambahbaikkan lagi. Ada yang dah dimulakan dan ini giliran untuk kita pertingkatkan lagi. Kita luas dan lebarkan lagi agar tidak ada rakyat yang ketinggalan.

“Kejayaan pentadbiran PH terbukti melalui sumbangan 25 peratus daripada pendapatan negara dan rekod cemerlang ini akan kita tingkatkan serta buat yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyindir manifesto Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan meniru Tawaran Kita Selangor yang dilancarkan Amirudin minggu lalu.

“Baru-baru ini PN lancar manifesto mereka selepas beberapa hari kita lancarkan manifesto kita. Bezanya manifesto PN adalah manifesto copy and paste.

“Pengalaman saya sebagai guru dan pensyarah, kita tengok pun sudah tahu tiru dan biasanya kalau orang (pelajar) meniru, kita bagi markah kosong.

“Jadi, selepas 12 Ogos ini kita beri kosong kepada PN. Itu sahaja cara nak ajar orang yang meniru dan khianat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast