KEPALA BBNATAS – Barisan Nasional (BN) wajar diberi peluang menganggotai barisan Exco Pulau Pinang sekiranya ganungan Pakatan Harapan dan BN (PH-BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Bekas menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana menerusi kerjasama yang dilakukan itu, PH turut bergantung kepada jentera dan pengundi BN untuk berkempen dalam menghadapi PRN Pulau Pinang.
“Dari segi keadilan jika di Pulau Pinang nanti PH-BN menang, mestilah ada tempat untuk BN dalam kerajaan,” katanya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menasihatkan masyarakat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam agar tidak merajuk dengan BN dan memilihkan calonnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pada Sabtu ini.
Menurutnya, adalah tidak wajar para pengundi tidak menyokong bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu hanya disebabkan rasa tidak puas hati terhadap BN.
“Saya mahu menegaskan bahawa adalah sangat penting sebab tanggungjawab kita untuk #malaysiagazette keluar mengundi dan pilih calon terbaik untuk DUN Bertam kali ini.
“Di Bertam ini saya tahu ada ramai yang enggan mengundi calon BN disebabkan faktor tertentu. Tetapi ketepikan BN itu sekejap, tengok Reezal dan undi untuk Reezal.
“Satu undi untuk Reezal adalah undi untuk Reezal, tak ada lebih daripada itu. Satu undi untuk Reezal bukan untuk Zahid Hamidi,” ujarnya.
Sementara itu, Reezal berkata, beliau kini dalam pecutan terakhir menyantuni pengundi dan kehadiran Khairy memberi kekuatan tambahan dalam usaha terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam pada Sabtu ini.
“Saya juga berharap jumlah pengundi yang dapat turun seramai mungkin memandangkan ini adalah tanggungjawab warganegara hak yang betul-betul penting yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya sambil menambah kalah atau menang adalah adat bertanding. – MalaysiaGazette