SHAH ALAM – Dari saya kecil hingga dewasa, masalah banjir di kawasan Batu Tiga dalam Parlimen Shah Alam tidak pernah selesai, kata calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Saiyidah Izzati Nur Razak.
Memakai nama gelaran Cheda, peguam muda itu mahu mengambil kesempatan yang diberikan oleh parti untuk membawa perubahan sekali gus menamatkan permasalahan banjir kilat yang berlarutan sejak sekian lama.
Beliau tekad jika diberi kemenangan oleh pengundi, selain cuba mengatasi masalah banjir, perkara kedua penting yang perlu diubah ialah mengembalikan pilihan raya Kerajaan tempatan.
“Dari saya kecil sampai sekarang, setiap kali hujan kawasan di Batu Tiga ini dilimpahi banjir. Ada kawasan tingginya air banjir sampai bahagian bahu anak muda.
“Tetapi, kerajaan 15 tahun yang diletakkan harapan oleh rakyat Shah Alam tidak berbuat apa-apa untuk mengatasinya.
“Hinggalah pada tahun 2021, berlaku banjir paling buruk dalam sejarah negeri dan ketika ini kerajaan negeri mula gelabah. Selepas banjir surut, mereka pun senyap,” katanya kepada Malaysia Gazette selepas Ceramah Mega MUDA Edisi Shah Alam, di sini malam tadi.
Mengenai cadangannya supaya diadakan pilihan raya kerajaan tempatan, Cheda berkata, majoriti Ahli Majlis PBT dilantik di kalangan kenalan wakil rakyat bukan warga tempatan.
Katanya, di kawasan Batu Tiga umpamanya, beliau dan penduduk setempat langsung tidak mengenali Ahli Majlis PBT apatah lagi bertemu mata untuk dikemukakan aduan dan permasalahan.
“Sebab itu, jika adanya pilihan raya kerajaan tempatan, penduduk boleh memilih mereka dalam kalangan orang tempatan sebagai wakil kepada mereka kerana ia dekat dengan permasalahan yang dihadapi.
“Saya, walaupun sibuk dengan tugasan peguam tetapi bila ada permasalahan ini, saya tidak tahu nak jumpa siapa sedangkan perkara begini sepatutnya didengari oleh Ahli Majlis PBT.
“Contohnya, dua tiga hari lepas saya ke Kampung Kuantan dalam DUN Batu Tiga, saya terkejut apabila penduduk memaklumkan longkang untuk saliran keluar air dibuat sendiri oleh mereka,” katanya.
Sebabnya kata beliau, penduduk tidak ada tempat untuk mengadu dan meminta sehingga terpaksa menggunakan kudrat sendiri bagi menyelesaikan masalah.
“Bila tanya kenapa tidak adu kepada ahli majlis, mereka kata mereka langsung tak kenal. Jadi, saya akan perjuangkan perkara ini dan pastikan pilihan raya tempatan diadakan untuk diberi hak memilih pemimpin komuniti oleh penduduk,” katanya.
Cheda berkata, usaha itu antara tiga perkara yang dimasukkan dalam manifestonya yang antara lain memperkenalkan strategi tindakan penanganan banjir serta memperkasa dan membela hak golongan kurang berkemampuan terutama ibu tunggal dan wanita dtinggalkan suami. – MalaysiaGazette
Cheda…cheda…drpd buang masa dengan polituk MUDA yang taise masa depan eloklah cheda tumpu layan suami kalau cheda dah kahwin atau pergi ikut kelas masak nemasak dan jahitan. Banyak faedah untuk masa depan rumah tangga bahagia.kan oranb tua tua kata kemakmuran negara bermula dari rumahtangga bahagia. Lain lah cheda ni ahli Puteri UMNO. Kalau betul sayangkan dan nak perjuangian bangsa tarlk diri dari prn dan ishtihar masuk UMNO. Atau cgeda kahwin dengan Adam Adli tu pasangan yang cocok