Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – DAP Selangor telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua “kawasan hitam” yang ditandinginya iaitu Sungei Pelek dan Kuala Kubu Baharu yang mempunyai masing-masing 57 peratus dan 46 peratus pengundi Melayu.

DAP melalui PH mencalonkan muka baharu iaitu Lwi Kian Keong di Sungai Pelek dan muka lama Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baharu.

Bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming berkata, kedua-dua kawasan adalah kurang selamat untuk calon DAP dan parti itu perlu mengkaji keperluan penduduk selain bekerjasama dengan parti lain seperti UMNO.

Selain dua kerusi itu, Kian Ming berkata, Sekinchan juga telah menjadi kawasan kelabu kerana dikelilingi oleh kubu-kubu kuat PN di Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang.

Katanya, keadaan bertambah keruh buat PH apabila Datuk Seri Noh Omar berkempen untuk PN di kawasan tersebut.

“Sedikit sebanyak kami akan menerima tempias dan hentaman dari PN. Sekinchan merupakan kawasan kelabu.

“Walau bagaimanapun, disebabkan rekod perkhidmatan calon kami iaitu Ng Suee Lim yang baik di Sekinchan, maka saya melihat beliau sebagai calon yang popular walaupun untuk pengundi Melayu,” katanya dalam wawancara bersama Kwong Wah Yit Poh.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, PH secara umumnya bimbang peratus keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina akan menjejaskan prestasi gabungan politik itu.

“Oleh itu, kami akan menggunakan masa yang masih ada untuk berkempen bagi mendapat sokongan pengundi Cina,” katanya.

Beliau mengakui pengundi Cina kelihatan lebih “dingin” dalam pilihan raya kali ini, antaranya mungkin disebabkan kurang selesa dengan kerjasama PH dan UMNO.

Kian Ming berkata, keadaan pengundi Melayu pula adalah berlainan mengikut kawasan dengan utara Selangor menjadi kubu PN.

“Angin PN bertiup di sini dan pengundi kawasan berkenaan akan menyokong PN tidak kira apa jua isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak melihat kemunculan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menggugat PH di Hulu Kelang kerana pengundi Melayu di situ lebih menyokong PH dan BN.

“BN mampu menang di Gombak Setia dan Kuang dengan pencalonan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia.

“Kawasan sekitar Ampang,  Gombak dan Pandan pula merupakan kubu kuat untuk PKR dengan ahli-ahli Parlimen PKR dan Menteri Besar Selangor berada di kawasan ini,” katanya.

1 Komen

  1. Kangan bimbang. Eskk malam ajaklah kaum cuna untuk kunjungi tokong untuk lakukan upacara sembahyang hajat.

Comments are closed.