PORT DICKSON – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli percaya kemenangan akan memihak kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Beliau melihat penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadapnya sejak mula berkempen 29 Julai lalu adalah sangat baik.
Mohd Faizal berkata, beliau dikenali masyarakat di sekitar kawasan DUN Linggi dan faktor anak tempatan pasti memberi kelebihan kepadanya.
“Bila sambutan yang begitu baik, saya yakin dan percaya bahawa peluang untuk menang itu adalah cerah.
“Kita akan kekalkan kerusi BN di Linggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Bersama Nelayan di Kampung Telok di sini, semalam.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang mulai 2004 hingga 2008 bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Zamri Md Said.
Kerusi tersebut sebelum ini disandang Datuk Tun Hairudin Abu Bakar selama dua penggal mulai 2013.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memegang rekod paling lama menyandang kerusi DUN Linggi apabila berjaya mempertahankannya selama enam penggal mulai 1978 hingga 2004.
DUN Linggi yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO dan BN pernah sekali jatuh ke tangan DAP iaitu pada Pilihan Raya Umum Ketiga (PRU3). – MalaysiaGazette
UMNO calon DUN Linggi disokong terus berangan-angan kerana percuma… teruskan