Pengundi muda, Muhammad Haikal Irfan Mohd Nor, 18 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kampung Lalang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

BALING – Golongan pengundi 18 tahun kecewa apabila tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama dalam hidup mereka selepas status Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) menunjukkan masih dalam proses semakan.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan DPPR untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan April tahun 2024 yang dikemaskini sehingga 21 Jun lalu.

Bagi Muhammad Haikal Irfan Mohd Nor, dia hanya baru menyambung hari kelahiran pada 21 Julai lalu yang menyebabkan dia gagal mengundi pada 12 Ogos di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu.

“Sudah pasti saya berasa kecewa kerana tidak boleh mengundi buat pertama kali walaupun sudah genap umur 18 tahun.

“Pada pendapat saya, sepatutnya dia dibenarkan mengundi secara automtik apabila genap 18 tahun tanpa perlu menunggu tempoh matang untuk proses daftar pemilih,” katanya yang meluahkan rasa terkilan ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Haikal Irfan juga reda apabila terpaksa menunggu tempoh empat ke lima tahun lagi untuk dapat mengundi buat pertama kali dalam hidupnya.

Katanya, dia sebenarnya sudah bersedia untuk mengundi bersama rakan sebaya lain malah telah mempunyai calon pemimpin di DUN itu.

Pengundi muda, Muhammad Amin Ridzuan, 18 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kampung Lalang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

Sementara itu, Muhammad Amin Ridzuan turut berdepan senario sama apabila tidak boleh mengundi buat kali pertama kerana baru genap 18 tahun pada 1 Ogos lalu.

Dia yang akan menyambung pelajaran ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Perlis memberitahu, semakan terkini laman web SPR menunjukkan status DPPR masih dalam proses semakan.

“Rasa sedih juga tidak boleh mengundi buat pertama kali apatah lagi kawan-kawan sebaya lain boleh mengundi Sabtu ini padahal kami sama-sama pergi tengok calon-calon berkempen ke sana-sini.

“Buat mereka yang berusia 18 tahun boleh mengundi, saya harap buat pilihan yang tepat. Undilah bakal pemimpin yang rajin bekerja dan jumpa rakyat serta terutamanya mampu memberi bantuan kepada anak muda untuk sambung belajar.

“Masalah anak muda hari ini mereka hendak sambung belajar terutama dalam bidang kemahiran namun berdepan masalah kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette

Penyokong yang menunaikan solat Asar beramai-ramai sebelum ceramah Gathering Anak Baling sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kampung Lalang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast