KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, pada sebelah pagi di Selangor, hujan diramal di Petaling, selain ribut petir dijangka berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Manakala petang pula, hujan dijangkakan di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Di Negeri Sembilan pula, hujan diramal di Rembau dan Kuala Pilah pada pagi, selain ribut petir dijangkakan di Seremban dan Port Dickson.
Pada sebelah petang, ribut petir dijangka berlaku di Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.
Selain itu, di Pulau Pinang, pada pagi, hujan diramal melanda seluruh negeri terbabit, manakala petang pula ribut petir dijangkakan di tiga kawasan iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Hujan juga dijangkakan di beberapa kawasan di Kedah pada pagi, membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Kuala Muda.
Pada petang pula, ribut petir diramal di Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Kelantan, tiada hujan diramal pada waktu pagi, namun ribut petir dijangkakan melanda seluruh negeri terbabit pada petang.
Bagaimanapun di Terengganu, kawasan Dungun dan Kemaman keadaan cuaca diramal mendung pada pagi, manakala pada petang pula, ribut petir dijangka di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu. – MalaysiaGazette