Calon Pakatan Harapan (PH) N.25 Kajang, David Cheong beramah mesra dengan warga emas di Taman Sungai Kantan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, Selangor. Foto AINI ZAKARIA, 10 OGOS 2023.

KAJANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, David Cheong enggan melayan ‘cakap-cakap’ kononnya PKR hanya menjadikan Kajang sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

Sebaliknya beliau mahu memfokuskan kempen dengan menyantuni rakyat terutama golongan muda supaya lebih banyak maklumat diperoleh sebagai persediaan sekiranya beliau dinobatkan sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan.

Katanya, isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan apabila  mengaitkan peristiwa Langkah Kajang dengan masalah dalaman PKR adalah perkara lama dan wajar dilupakan.

“Itu sudah berlalu (Langkah Kajang), sekarang adalah memberi sokongan kepada saya kerana ini satu agenda besar.

“Kita mahu undi bukan macam parti orang lain, nak fitnah itu ini tidak. Kita Keadilan (PKR) Pakatan Harapan mendapat sokongan oleh kerana kita menunaikan janji merealisasikan impian rakyat di sini dan berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semasa  Program Santuni Warga Emas di Taman Sri Kantan sempena PRN Selangor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi yang sama, S. Arutchelvan yang mendakwa, PKR hanya menjadikan Kajang sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah dalaman parti tersebut.

Dalam temubual bersama MalaysiaGazette, Arutchelvan atau lebih dikenali dengan panggilan Arul mendakwa, ia bermula daripada kisah ADUN Kajang sebelum ini, mendiang Lee Kim Sin atau dikenali Cikgu Lee yang menang atas tiket PKR pada 2008.

Katanya, ia kemudian diikuti dengan Langkah Kajang di mana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 2014.

Mengulas lanjut, David berkata, penduduk Kajang menilai prestasi
PKR ketika mentadbir DUN itu menerusi bekas wakil rakyatnya, Lee Hoy Sian sebelum ini.

Katanya, tidak perlu untuk mengaitkan apa-apa perkara untuk dijadikan isu di Kajang kerana pengundi di DUN berkenaan bijak dalam membuat percaturan demi masa depan mereka.

Dalam pada itu, David berkata, salah satu daripada perjuangannya di Kajang kerana mahu memberi tumpuan terhadap kebajikan golongan muda.

Golongan itu tidak boleh dipinggirkan kerana mereka merupakan tonggak kepada masa depan negara, katanya.

Beliau berhasrat untuk membangunkan lebih banyak pusat-pusat pendidikan kemahiran di Kajang supaya golongan muda mendapat latihan secukupnya untuk diadaptasi bagi membela nasib mereka.

“Kalau kita bagi duit, duit itu akan habis sekejap sahaja tapi kalau kita beri mereka kemahiran, ia boleh dimanfaatkan sepanjang masa.

“Saya berazam mahu melihat anak-anak muda di Kajang mendapat pendidikan dan kemahiran yang sewajarnya dan itu merupakan agenda besar saya selain perkara-perkara lain yang turut menjadi fokus dan matlamat untuk dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Arul dakwa Kajang hanya tempat PKR selesaikan masalah dalaman parti

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast