PERMATANG PAUH – “Saya masuk politik sebagai calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan mahu jadi kaya tetapi mahu mewarisi legasi bapa saya menjadi wakil yang berjuang untuk rakyat tempatan,” kata Izhar Shah Arif Shah.
Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, selepas melakukan walkabout dan bersemuka dengan penduduk setempat, kempennya menjadi lebih mudah.
“Orang dapat menilai saya sebagai pemuda yang matang dari segi ucapan dan perjumpaan dengar permasalahan rakyat setempat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Izhar Shah yang akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Johari Kassim untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang jaya lebih selesa meletakkan dirinya sebagai calon underdog.
Setakat ini, katanya, beliau sudah mendampingi 65 peratus pengundi dengan isu sosial dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen sejak 29 Julai lalu.
“Saya masih menaruh harapan dan perlu berkerja lebih kuat untuk menyantuni lebih ramai lagi pengundi Cina dan India agar sokongan mereka pindah dalam peti undi Sabtu ini.
“Saya menawarkan diri untuk diberi peluang dipilih sebagai wakil rakyat muda di Seberang Jaya dan ini bukan disebabkan wang memandangkan saya sudah bekerjaya sebagai pakar perunding IT dengan gaji lumayan mencukupi.
“Tetapi, saya mahu menyambung legasi bapa saya Arif Shah Omar Shah yang pernah menjadi wakil rakyat dua penggal di Seberang Jaya dan saya sendiri minat politik ini dan senang buat kerja,” ujarnya.
Berbaki kurang dua hari, Izhar Shah sedar dia berhadapan cabaran besar untuk mendapatkan undi bukan Melayu yang dikatakan kurang selesa dengan Perikatan Nasional (PN).
“Pengundi bukan Melayu di sini diseru ambil kesempatan ini undi anak tempatan ini dan kami terpaksa menerangkan mereka bahawasanya kalau mereka memberi peluang undi anak tempatan masalah kecil kawasan in kita dah ada seorang pekerja untuk bantu anda,” ujarnya.
Katanya manifesto PN Pulau Pinang akan memainkan peranan yang lebih realistik, signifikan bagi menarik pengundi India. – MalaysiaGazette