Seorang pesawah membasahkan wajahnya dengar air botol minuman bagi menyegarkan badannya selepas seharian melakukan kerja-kerja membajak dalam keadaan cuaca panas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jempol, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 02 MEI 2023.

ALOR SETAR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) mengucapkan  terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang bertindak menaikan kadar subsidi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) SSHP daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 berkuat kuasa hari ini.

Bagainanapun, menurut pengerusinya, Muhd Fuad Yaacob, 64 kerajaan perlu mencari langkah terbaik dalam memantau kesan kenaikan  kerana bimbang pihak ketiga akan mengambil kesempatan.

Muhd Fuad Yaacob

Muhd Fuad Yaacob”Saya bagi pihak peladang bila kenaikan subsidi ini kerajaan juga kena memantau kita bimbang pihak lain ambil kesempatan seperti kenaikan harga racun, baja dan sebagainya.

“Kalau kerajaan bagi kenaikan subsidi RM500, kenaikan harga racun tidak dikawal, jadi kami tidak dapat rasa kenaikan itu, RM500 ini hanya untuk menampung kos. Kalau kawalan diambil berat oleh kerajaan, kami akan dapat merasakan kenaikan subsidi itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Muhd Fuad berkata demikan mengulas langkah Perdana Menteri yang mengumumkan kenaikan RM140 kepada jumlah subsidi keseluruhan RM500 per metrik tan pada Selasa lalu.

Ahmad Shaari
Ahmad Shaari

Dalam pada itu, Ahmad Shaari seorang pesara kerajaan mencadangkan agar kerajaan menubuhkan segera badan khas bagi memantau pengagihan subsidi bagi menjaga kepentingan pesawah padi di seluruh negara.

Ia perlu dalam memastikan segala peruntukan yang telah disalurkan kerajaan sampai ke tangan pesawah dan bukannya melalui orang tengah.

“Saya mencadangkan sampai masa kerajaan menubuhkan badan baru Perbadanan Padi Beras Negara di mana semua aktiviti yang berkaitan dengan padi beras negara ini dipusatkan di sini dan tidak ada lagi jabatan lain yang terlibat dalam hal-hal yang berkaitan itu.

“Beberapa komponen penting dalam rantian pengeluaran padi beras ini perlu diberikan penekanan iaitu dari segi benih dan kualiti baja dan pengurusan pengairan dan rangkaian pemasaran,” katanya yang pernah berkhidmat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

Bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Abdul Rahman Ahmad, 63, pula berkata, pemberian subsidi ini sangat memberikan manfaat kepada pesawah.

Ia dalam masa yang sama membuktikan Anwar berusaha keras untuk meningkatkan pengeluaran tanaman padi di negara ini.

“Beliau (Anwar) telah memberikan satu peruntukan yang khusus sebanyak RM3 bilion bagi memudahkan rancangan saliran dan pengairan untuk menjayakan hasrat Kementerian Pertanian untuk melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun.

“Inilah usaha untuk bantu petani samada jangka pendek mahupun jangka panjang, mudahan dengan usaha ini para petani akan mendapat manfaat,” katanya.

Perdana Menterii sebelum ini berkata, peningkatan subsidi sebanyak RM140 itu diunjur membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun, adalah satu-satunya kenaikan subsidi itu sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.

Kenaikan subsidi itu akan menyaksikan pesawah negara ini memperoleh RM1,700 bagi satu tan pengeluaran padi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast