ALOR SETAR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan terdapat satu lagi surat kebenaran dikeluarkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang dipimpin Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 3 Mei lalu kepada satu syarikat bagi lesen carigali dan eksplorasi.
Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri itu mendakwa surat kebenaran MBI diberikan kepada syarikat Jangka Bakat Mineral Sdn Bhd itu bertujuan untuk proses mengambil sampel unsur nadir bumi (REE) di Kampung Bendang Man, Ladang MBI Kedah Felcra Berhad.
“Saya difahamkan atas nama usaha ekplorasi ini juga telah dikeluarkan hampir lima guni sampel (REE). Surat 3 Mei oleh (Ketua Pegawai Eksekutif) CEO MBI (Sobri Osman) kepada Jangka Bakat Mineral Sdn Bhd bagi kebenaran masuk tanah MBI Bendang Man untuk pengambilan sampel, sampel apa (sampai) lima guni?
“Jadi Sanusi kena tanya CEO Sobri berapa banyak lagi kelulusan MBI untuk lesen pengambilan sampel ini,” katanya dalam sidang media grand finale di ibu pejabat PKR negeri hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menegaskan, polis sudah mengambil tindakan terhadap kes itu dengan beberapa tangkapan dibuat.
“Saya boleh sahkan ada tangkapan dibuat beserta lima guni sampel, berapa ramai ditangkap itu kena tanya polis, saya tak mahu ganggu siasatan mereka,” katanya lagi.
Saifuddin Nasution kesal dengan pendedahan terbaru itu kerana ketika pendedahan mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik dibuat, satu lagi kecurian berlaku lagi atas nama lesen eksplorasi.
Justeru, beliau menegaskan, banyak lagi pendedahan akan dilakukan berkait isu kecurian REE di Kedah dan bukan hanya semata adanya Pilihan Raya Negeri.
“Pendedahan saya bukan untuk pilihan raya, ini untuk hebahkan kepada rakyat apa yang berlaku sebab itu saya kata menjelang 48 jam yang terakhir, satu undi kepada Sanusi bermaksud satu undi menyokong REE terus dicuri.
“Satu undi kepada parti Kerajaan Perpaduan bermaksud satu undi untuk menyekat kecurian daripada terus dilakukan. Satu undi kepada Sanusi bukan untuk The Greater Kedah tetapi The Greatest Robbery of REE,” katanya lagi. – MalaysiaGazette