Calon Barisal Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof menunjukkan laporan polis dibuatnya di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Calon Barisal Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof menafikan dirinya terlibat dalam kemelut rumah tangga lawannya dari Pas.

Mohd Khairi hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu iaitu pemilik akaun Facebook bernama Karl Paulo dan Razak Bidin kerana menuduhnya terlibat dalam komplot menjatuhkan maruah calon Pas bagi DUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi.

“Mereka dengan sengaja menuduh saya bersama Datuk Seri Ahmad Said dan seorang wanita bernama Ezza Suria Muda merancang komplot bagi menjatuhkan calon Pas di Kemasik.

“Mereka menuduh kedua-dua individu itu memainkan persepsi jijik dengan mengeluarkan video, gambar dan akuan bersumpah yang saya tanda tangani dalam media sosial.

“Mereka juga menuduh saya, Ahmad Said, Ezza serta ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Kemasik menyusun pelan jahat bagi memastikan orang ramai tidak keluar mengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, beliau bersama Ahmad Said atau mana-mana AJK UMNO Kemasik tidak terlibat sama sekali dalam isu rumahtangga membabitkan calon Pas berkenaan bersama wanita bernama Ezza itu.

Bagaimanapun beliau yang juga Pesuruhjaya Sumpah mengakui ada menandatangani surat akuan bersumpah yang dibawa oleh Ezza pada 27 Ogos lalu selepas segala dokumen yang diperlukan untuk disahkan adalah lengkap.

“Sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah, saya tidak pernah terlibat dengan kandungan dokumen yang saya tandatangani sebaliknya ia adalah tanggungjawab Ezza sepenuhnya.

“Jelas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu bertujuan menjatuhkan maruah dan reputasi saya sebagai calon Barisan Nasional (BN) DUN Kemasik dan sebagai seorang Pesuruhjaya Sumpah,” katanya lagi.

Baginya, pihak lawan hanya ingin menutup aib sendiri selepas kisah rumahtangganya tular dengan membuat tuduhan terhadapnya dan BN.

Mohd Khairi seterusnya mencabar calon Pas terbabit untuk membuat laporan polis bagi menafikan apa yang tersebar dalam media sosial sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast