KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu, berkuatkuasa 30 Ogos ini. .
Jawatan itu kosong berikutan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilanitk sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini.
Berikutan pelantikan Mohd Shuhaily ke Bukit Aman, kekosongan jawatan itu akan diisi Deputi Komisioner Polis Datuk Allaudeen Abdul Majid dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Allaudeen merupakan Timbalan Pengarah (Pematuhan/Standard), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
Dalam pada itu Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/ Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Selain itu Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Noor Hisam Nordin akan bertukar ke Pahang sebagai Timbalan Ketua Polis negeri itu dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Kekosongan beliau di Pulapol KL akan diisi Ketua Jabatan Pengurusan KL, SAC Muhammad Idzam Jaafar.
Manakala jawatan Ketua Jabatan Pengurusan KL yang disandang beliau akan digantikan oleh Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Penjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Penjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Samsor Maarof.
Selain itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket),Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Kesemua pelantikan itu berkuatkuasa 30 Ogos. – MalaysiaGazette