Najwan Halimi

SHAH ALAM – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menyediakan lima tawaran untuk rakyat kawasan itu sekiranya beliau dikekalkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Tawaran atau manifesto bertajuk Iltizam Kota Anggerik itu diumumkan petang ini yang dirumus dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan khusus bagi masyarakat di DUN Kota Anggerik.

Kata beliau, manifesto itu menzahirkan komitmen serta keseriusannya untuk meraih mandat bagi meneruskan khidmat kepada warga Shah Alam terutama pengundi di DUN berkenaan.

“Saya kemukakan tawaran ini untuk penilaian dan pertimbangan pengundi dalam membuat keputusan untuk memilih saya kembali sebagai wakil rakyat DUN Kota Anggerik pada 12 Ogos ini,” katanya.

Berikut adalah Iltizam Kota Anggerik:

1.Pembangunan mampan, berdaya huni dan lestari demi kehidupan sejahtera;

– Mengurangkan kesesakan trafik di Shah Alam menerusi koordinasi dengan MBSA, polis dan agensi berkaitan.

– Meneruskan ikhtiar untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di kawasan lampu isyarat 199 (Jalan Subang) menerusi pembinaan jejambat laluan atas (over pass).

– Meneruskan tuntutan agar kerajaan negeri melaksanakan pembangunan semula kawasan perumahan tertua di Shah Alam seperti Flat PKNS Seksyen 6, Seksyen 8 dan Seksyen 16.

– Meneruskan tuntutan agar kerajaan negeri mempertahankan kawasan hutan dan hijau yang masih tersisa di Shah Alam.

– Meneruskan usaha untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di beberapa kawasan seperti Setia Alam.

2. Pemerkasaan institusi masjid, surau dan rumah ibadah sebagai teras perpaduan rakyat;

– Menubuhkan jawatankuasa khas peringkat DUN bersama pimpinan masjid, surau bertujuan menyelesaikan isu khusus terkait infrastruktur dan penyelenggaraan masjid, surau dalam kawasan DUN Kota Anggerik.

– Meneruskan sumbangan Ihya Ramadan setiap tahun dengan insentif minimum RM1,500.

– Menggerakkan ikhtiar untuk mengimarahkan masjid, surau sebagai tempat ibadah dan pusat kegiatan masyarakat setempat.

– Meneruskan inisiatif baikpulih infrastruktur kepada rumah ibadah bukan Islam dalam kawasan DUN Kota Anggerik.

3. Pemberdayaan komuniti sebagai pemangkin gagasan Malaysia Madani;

– Meneruskan usaha memudahcara penubuhan persatuan penduduk di kawasan perumahan baharu serta kawasan perumahan lama yang dikenalpasti tidak aktif.

– Meneruskan sumbangan kemasyarakatan kepada persatuan penduduk yang aktif menjalankan aktiviti berimpak tinggi dengan insentif minimum RM3,000.

– Meneruskan pelaksanaan projek kecil berkaitan kemudahan infrastruktur dan kemudahan riadah, sukan di kawasan perumahan dalam DUN Kota Anggerik.

– Meneruskan pelaksanaan sesi dialog (townhall) yang melibatkan agensi berkaitan seperti MBSA, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Air Selangor dan lain-lain.

4. Pengupayaan peniaga dan penjaja kecil sebagai penggerak ekonomi tempatan;

– Meneruskan usaha memudahcara urusan peniaga, penjaja bagi mendapatkan tapak niaga dan lesen perniagaan dari MBSA.

– Meneruskan usaha menyediakan latihan kemahiran kepada peniaga, penjaja dengan ilmu berkaitan perniagaan dan pemasaran.

– Meneruskan sumbangan modal permulaan kepada peniaga kecil dengan insentif minimum RM500.

– Mewujudkan insentif khas sebagai modal permulaan kepada usahawan muda yang berminat untuk menjalankan perniagaan dalam DUN Kota Anggerik.

5. Penerapan ilmu dan pemberdayaan belia sebagai tunjang pembangunan modal insan;

– Meneruskan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam DUN Kota Anggerik dengan pendanaan minimum RM2,000.

– Meneruskan pelaksanaan program sumbangan Back to School (sekolah rendah) dengan insentif minimum RM100 setiap murid.

– Meneruskan pelaksanaan bantuan komputer riba kepada pelajar peringkat pengajian tinggi dari keluarga B40.

– Meneruskan pelaksanaan sumbangan pendidikan kepada murid, pelajar keluarga B40 dengan insentif minimum RM500.

– Meneruskan usaha bagi menuntut kerajaan agar menyegerakan pembinaan sekolah rendah dan menengah di kawasan perumahan baharu seperti di Seksyen U9 dan Seksyen U10. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast