Datuk Ir Dr. Sheikh Hussein Mydin melambai ke arah para pengundi India dalam ceramah di Taman Desa Murni, Sungai Dua Tasek Gelugor malam tadi.

TASEK GELUGOR – Seramai 672 pengundi komuniti India menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Calon BN yang mewakili kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di kerusi berkenaan, Datuk Dr. Ir Sheikh Hussein Mydin menyeru pengundi India agar tidak terpengaruh dengan pembangkang.

Menurut beliau, BN kehilangan kerusi Parlimen Tasek Gelugor kepada PN pada PRU15 lalu.

“Saya tidak mahu anda melakukan kesilapan sama di DUN Sungai Dua sekali lagi dan mahu sokongan penuh anda menangkan saya saya sebagai calon BN di peti undi pada Sabtu ini.

“Dulu boleh kata BN dan PH lawan. Sekarang kedua-dua parti terbesar itu menjadi gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dengan disokong UMNO, MCA, MIC, PH , DAP dan PKR serta Amanah..jadi sekarang saya rasa anda (masyarakat India) tidak ada sebab kenapa undi PN atau tidak boleh mengundi BN,” katanya.

Datuk Ir. Sheikh Hussein Mydin bersama Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang J.Dhinagaran di ceramah Taman Desa Murni Tasek Gelugor MalamĀ  tadi.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok dengan lebih 150 pengundi India anjuran Persatuan Kebajikan Komuniti India Taman Desa Murni Sungai Dua malam tadi.

Turut hadir memberi sokongan kepada calon BN adalah Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran.

Beliau juga menjelaskan, perang sebenar di Pulau PinangĀ  bermula di DUN Sungai Dua.

Menurutnya, menang kalah di kerusi tersebut hanya ditentukan dengan perbezaan 1,000 atau 2,000 undi majoriti pada DUN kali ini.

“Saya pemimpin nombor dua BN Pulau Pinang melawan orang nombor satu Pas negeri ini..saya tidak hina Pas tetapi tidak setuju dasar perjuangan mereka.

“Tuan puan perlu faham bahawa undi anda semua adalah sangat penting kerana undi anda ialah penentu kemenangan BN di sini untuk memastikan Kerajaan Perpaduan kekal utuh untuk jangka masa panjang demi mensejahterakan masa depan anda dan anak-anak anda.

“Atas kertas kita (BN) boleh menang di DUN Sungai Dua ini, jadi sila pergi pujuk rakan-rakan anda yang merajuk sebelum ini agar keluar mengundi dan terjemahkan sokongan dalam peti undi kepada PH-BN di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette