ALOR SETAR – Gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) berjanji untuk menghentikan kecurian unsur nadir bumi (REE) sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada 12 Ogos depan.
Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, janji tersebut ditawarkan oleh gabungan itu bagi memastikan REE di negeri itu terjamin selamat dan tidak dicuri lagi.
“Kami akan segera hentikan insiden kecurian ini dan surat 15 Mei (kebenaran masuk hutan simpan) dan surat 3 Mei (surat kebenaran persampelan di Kampung Bendang Man) kita akan batalkan serta merta.
“Ini pintu kepada kecurian. Hentikan kecurian dan mulakan siasatan terhadap REE,” katanya dalam sidang media grand finale di ibu pejabat PKR hari ini.
Mengakui REE adalah sumber pendapatan baharu kepada Kedah, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan negeri perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memulakan rundingan.
“Mengikut dasar semasa tidak akan diluluskan juga sekiranya Kerajaan Perpaduan mengambi alih di mana kerajaan negeri dan kerajaan pusat sama, kita akan memulakan perundingan.
“Ini untuk melihat dasar semasa bagi melihat ruang fleksibiliti dilakukan atas rasional hasil bumi Kedah wajar diusahakan secara mengikut undang-undang dan peratusan. Ini akan kira rundingkan,” katanya lagi.
Antara lain, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memulakan siasatan segera mengenai kecurian REE di Kedah. – MalaysiaGazette