Calon Pakatan Harapan (PH) N04 Sekinchan, Ng Suee Lim bercakap kepada pemberita pada sidang media khas enam calon PH-BN di pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar. Foto: NIZAM ZAIN

SUNGAI BESAR – Pecutan terakhir calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) N04 Sekinchan, Ng Suee Lim menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Sabtu ini lebih tertumpu kepada pengundi muda bukan Melayu.

Penyandangnya, Ng Suee Lim berkata, ia bagi memastikan peratusan keluar mengundi khususnya pengundi 18 tahun dan baharu dapat dimaksimumkan sekaligus memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita dalam pecutan terakhir untuk menarik lebih ramai anak muda termasuk bukan Melayu untuk balik ke kawasan Sungai Panjang, Sekinchan, Permatang Sungai Burong dan sebagainya.

“Walaupun kawasan itu majoritinya tak besar tetapi ia memainkan peranan sekiranya keluar mengundi tinggi peratusan boleh mencapai 70 hingga 80 peratus,” katanya pada sidang media khas di pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar semalam.

Hadir sama lima calon PH-BN iaitu Datuk Rizam Ismail (N01 Sungai Air Tawar), Samad Hashim (N02 Sabak), Datuk Mohd Imran Tamrin (N03 Sungai Panjang), Mohamad Khir Ramli (N08 Sungai Burong) dan Mohd Yahya Mat Sahri (N09 Permatang).

Tambah Suee Lim, peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam PRN15 kali ini mampu memberi impak positif dan kemenangan besar calon PH-BN.

“Ia boleh pastikan semua calon ini menang dengan bergaya untuk kita pastikan kekuatan Kerajaan Perpaduan yang akan kita bentuk ini dan suara majoriti anjung utara kuat serta wakil yang besar dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Suee Lim turut berharap pengundi yang berasa tertipu dengan Perikatan Nasional (PN) selepas memenangi tiga Parlimen di Selangor utara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu agar tidak melakukan kesilapan sama pada Sabtu ini.

“Kita tidak mahu tiga ahli Parlimen yang lalu, kita nampak tidak menguntungkan pengundi, banyak keluhan kita terima seperti Sekinchan.

“Ramai pengundi beritahu saya tak pernah jumpa Ahli Parlimen (Sungai Besar), apa-apa program pun tak ada di kawasan.

“Inilah keluhan dan ada yang menyesal dan sebagainya, saya harap keadaan ini dapat diterjemahkan kepada undi untuk memastikan kemenangan bergaya calon Perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast