KEPALA BATAS – Kemunculan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di pekan lama Kepala Batas menjadi tumpuan masyarakat setempat.
Khairy ditemani calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam itu meluangkan masa kira-kira sejan menyantuni penduduk dan peniaga di kawasan tersebut.
Khairy berkata, beliau berkempen atas semangat persahabatan yang mana Reezal merupakan kawan baiknya dalam UMNO.
“Kalau nak memilih wakil rakyat ini kena pilih pemimpin terbaik.Lebih-lebih lagi untuk jadi ADUN sebab perkhidmatan dia berlainan daripada Ahli Parlimen yang mana dia kena selesaikan banyak masalah harian.
“Saya tahu dia boleh buat kerja dan pandai selain memiliki banyak pengalaman sama ada dalam parti atau kerajaan,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu, di sini, hari ini.
Menurut Khairy, antara sebab beliau membantu Reezal kerana DUN Bertam merupakan kampung bapa mentuannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana legasi bekas Perdana Menteri itu harus diteruskan.
“Bagi saya, Reezal adalah pewaris perjuangan Pak Lah di sini (Kepala Batas) dan saya tidak mahu ia terputus.
“Pak Lah wakil rakyat di sini sejak 1970-an dan memang diteruskan Reezal walaupun PRU15 ada sedikit gangguan dan saya harap PRN kali ini di Bertam insya-Allah Reezal dapat meneruskan perjuangan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette